Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 1 dan 17 Mac untuk mendengar permohonan pembelaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja.

Ia merupakan perbualan dua ahli perniagaan berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa telah diberikan kepada Guan Eng sebagai rasuah.

Peguam bela mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo berkata, maklumat itu agak penting untuk menyokong permohonan pihak pembelaan untuk menentukan isu pemberian rasuah yang didakwa bukan untuk Guan Eng atau untuk pihak ketiga.

Prosiding ditangguhkan hari ini berikutan keperluan pihak pembelaan mengakses perbualan tersebut terlebih dahulu yang dijangka diperolehi daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam tempoh dua minggu.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 1 Mac ini bagi mendengar permohonan pembelaan untuk mendapatkan perbualan WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja.

Permohonan bagi mendapatkan laporan forensik itu sepatutnya didengar hari ini.

Perkara berkaitan perbualan WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan lalu melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Pihak pembelaan menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ bukan untuk Guan Eng sebaliknya ia untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Pasukan pendakwaan juga tidak membantah penangguhan itu.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau juga juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad, berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, pada Mac 2011.

Selain itu, Guan Eng berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. -MalaysiaGazette