Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyempurnakan gimik pelancaran sambil diiringi Pengerusi PM PCC Ltd, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari pada Majlis Pelancaran PM Protected Cell Company Ltd di DoubleTree Hilton, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Melaka Holding Sdn Bhd (PMH), anak syarikat kerajaan negeri Melaka, memperkenalkan program insurans kaptif di bawah PM Protected Cell Company Ltd. (PMCCC).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, PM PCCC adalah anak syarikat di bawah PMH memberi perlindungan takaful dan insurans dalam kerangka kaptif bagi keperluan syarikat, koperasi, kerajaan dan organisasi yang terlibat secara langsung.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berucap pada Majlis Pelancaran PM Protected Cell Company Ltd di DoubleTree Hilton, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata, kaptif takaful dan insurans membolehkan organisasi merancang sendiri keperluan, merangka polisi, perlindungan dan kadar premium atau sumbangan secara holistik.

“Kaptif takaful dan insurans menggunakan kepakaran di peringkat global melalui Re Takaful dan Re Insurans yang lebih kompetatif.

“Program terbaharu di bawah PMH dijangka akan dapat membantu memberikan semula pulangan kepada kerajaan negeri,” katanya pada majlis perasmian syarikat PMPCC, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu majlis pelancaran ini juga disertai dengan majlis menandatangani perjanjian MoU di antara PMPCC, Al Hidayah Group of Company, Malaysian Care Community Foundation (MCCF) dan Pertubuhan Perniagaan Malaysia Tanzania.

Menurut Sulaiman, peranan PMPCC adalah sebagai pengurus kepada agenda kajian semula risiko bagi pelanggan yang berminat untuk menukar program takaful dan insurans sedia ada kepada mod kaptif.

“Kaedah ini pada akhirnya akan menentukan sama ada keperluan kaptif takaful setiap organisasi dapat ditambahbaik dengan jumlah perlindungan lebih besar disamping menjimatkan kos premium semasa.

“Organisasi yang telah mempunyai perlindungan takaful dan insurans boleh merangka semula pelan perlindungan melalui kepakaran yang ada di bawah PMPCC Ltd.

“Pihak PMPCC Ltd. boleh menjadi pemudahcara dan runding cara bagi menganalisa semua program takaful dan insurans yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PMH, Datuk Seri Dr Hasim Hasan berkata, PMCCC adalah anjakan paradigma baharu untuk meneroka segmen pasaran yang lebih meluas.

“Pihak kami menjangkakan PMPCC akan dapat berkembang di luar pasaran Malaysia.

“Strategi utama kami adalah bekerjasama dengan rakan kongsi pintar kami di Labuan membabitkan syarikat amanah, pengurus insurans, broker RI dan panel pengendali insurans dan takaful.

“Kami mengalu-alukan sebarang kerjasama strategik untuk membentk model perniagaan konkrit yang boleh mengukuhkan hubungan dan kedudukan pasaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast