KUALA LUMPUR – Program ‘Duta Madani Perpaduan’ akan diperluas ke sekolah-sekolah di seluruh negara dalam usaha menjadikan pelajar sebagai ikon penyatuan kaum dan bangsa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelantikan pelajar itu penting kerana mereka akan membantu kerajaan menyampaikan mesej tentang pentingnya memupuk dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini agar kesejahteraan dan keharmonian terus terjamin.
Malah katanya, mereka juga akan memainkan peranan penting dalam aspek mengamati integrasi antara kaum dan juga pengukuhan idealisme dari segi rangka kerangka madani yang lebih inklusif.
“Selain itu ia juga mempunyai potensi seni dan budaya yang mesti kita terus pertahankan dan perkembangkan secara luas untuk menjamin masyarakat yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Semarak Ilmu 2023 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Sentul di Pusat Konvensyen HGH Sentul, di sini, hari ini.
Fadhlina yang mengumumkan pelajar sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Duta Madani Perpaduan hari ini berkata, beliau mengumumkannya dalam rangka lawatannya ke negeri lain.
“Pelajar-pelajar sekolah ini akan dipanggil dari semasa ke semasa untuk pelantikan sebagai Duta Madani Perpaduan.
“Selepas ini kementerian akan membawa mereka ke negeri lain untuk bersama-sama berkongsi berkaitan dengan potensi dan juga bagaimana hendak terus jadi Duta Madani yang berwibawa dan bertanggungjawab di peringkat sekolah,” ujarnya.-MalaysiaGazette