Soffian (kanan) menunjukkan gambar suspek serta kenderaan yang digunakan mereka pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Meskipun sudah didenda mahkamah susulan terlibat dalam kegiatan pecah dan curi wang daripada mesin token permainan di pasa raya namun enam individu terbabit didapati masih aktif melakukan kegiatan sama.

Kegiatan enam individu termasuk dua pasangan suami isteri itu terbongkar selepas mereka ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu di sekitar Sungai Nibong, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik mesin token permainan pada 31 Januari lalu yang mendakwa mengalami kerugian RM2,365 susulan mesinnya di sebuah pasar raya di George Town dipecahkan selain wang dalam mesin tersebut turut dilarikan.

Soffian.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pihak polis menjalankan risikan sebelum mengesan kenderaan jenis Perodua Alza yang digunakan suspek memandangkan ia mudah dikenal pasti susulan warna keretanya unik berbanding kenderaan lain.

“Hasil siasatan mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki serta dua perempuan berusia 22 hingga 32 tahun dan berasal dari negeri di selatan tanah air.

“Kesemua suspek ini penganggur namun sebelum masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh binaan, peniaga pakaian terpakai (bundle), juru elektrik, pembuat kepok kubur.

“Semakan juga mendapati, tiga daripada mereka adalah adik beradik dan selain kesemuanya mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Soffian (dua dari kanan) melihat pegawai penyiasat kes menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada enam suspek terbabit.

Turut dirampas dalam serbuan itu, sebuah kenderaan pelbagai guna, telefon bimbit (lima), alat pemotong (tiga), pemutar skru serta wang tunai berjumlah RM729.

Mengulas lanjut Soffian berkata, ini merupakan kali kedua kesemua suspek masuk ke Pulau Pinang dan mereka biasanya menjalankan kegiatan jenayah itu pada waktu petang di pusat beli belah yang sudah dikenal pasti.

“Modus operandi mereka adalah berkumpul beramai-ramai di mesin terbabit seolah-olah sedang bermain permainan sebelum seorang daripada mereka memotong mangga kunci pada mesin token permainan serta kerusi urut menggunakan pemotong khas.

“Selain itu, mereka bergerak dari satu negeri ke negeri lain bermula dari selatan untuk melakukan jenayah ini sejak Januari lalu.

“Tangkapan kesemua suspek ini kita berjaya menyelesaikan 11 kes pecah mesin berkenaan enam daripadanya di Pulau Pinang, masing-masing dua di Kedah dan Perak serta satu di Kelantan dengan kerugian bernilai RM20,000.

“Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette