MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempercepatkan rundingan bersama Kementerian Kewangan (MoF) untuk memperkenalkan sistem bayaran tol terbuka bagi memberi pilihan kepada pengguna dan mengurangkan kebergantungan terhadap sistem sedia ada.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha yang turut melibatkan syarikat konsesi serta pemegang taruh pemain industri lebuh raya bertol di seluruh negara itu juga sebagai alternatif, sebelum sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya (MLFF) dilaksanakan menjelang 2025.
Menurutnya, projek perintis sistem bayaran tol terbuka perlu dilaksanakan lebih awal sebelum pelaksanaan menyeluruh untuk memastikan keberkesanannya.
“Memang kita akan buat projek perintis (sistem bayaran tol terbuka), kita kena uji sistem itu dahulu untuk lihat mana yang terbaik lebih awal daripada jangkaan pelaksanaan MLFF pada 2025.
“Jika kita berpuas hati, baharulah sistem bayaran tol terbuka ini akan mulakan kerana terdapat implikasi kewangan yang tentunya memerlukan penglibatan MoF,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Lebuhraya PLUS di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad Datuk, Mohd Izani Ghani, dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad Datuk Indera Ir. Baharin Din.
Mengulas mengenai pelaksanaan MLFF Alexander berkata, perancangan itu dijangka dapat dilaksanakan lebih awal berbanding jangkaan 2025 termasuk melihat contoh beberapa negara lain yang sudah merelisasikan sistem berkenaan.
“Memang sekarang ini kita menjurus kepada itu (MLFF) yang perlu dirancang sebaik-baiknya walaupun kita tetapkan time frame itu pada 2025 namun kita akan buat lebih awal dari itu.
“Banyak isu dari segi teknikal dan legality kita kena lihat, kaji sistem itu yang juga ada digunakan di negara-negara lain tapi Malaysia mungkin kita dapat buat lebih baik daripada itu,” katanya. – MalaysiaGazette