Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk di sebelah pengasas dan Presiden Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima) Oms PA Thiagarajan ketika majlis hi-tea bersama pemimpin kalangan masyarakat India di Seri Perdana.

KUALA LUMPUR – Sejak awal perjuangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat memahami nadi dan keperluan masyarakat India di negara ini dan kini lega kerana pasti semua isu membelenggu komuniti ini akan selesai dalam penggal beliau bergelar Perdana Menteri.

Keyakinan itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima), A Prakash Rao diperkukuhkan lagi dengan ikrar Anwar untuk terus menjaga kebajikan serta keperluan kaum itu.

Komitmen itu dinyatakan Anwar semasa  majlis hi-tea di Seri Perdana baru-baru ini dengan menjemput semua ketua-ketua pentadbir kuil, NGO, aktivis dan pemimpin politik kalangan masyarakat India.

“Walaupun negara ini berbilang kaum dan Perdana Menteri adalah milik semua namun apa yang membuatkan kita lega apabila beliau tetap fokus, tegas dan komited dalam memahami nadi kami, isu penting yang membelenggu kami untuk sekian lama.

“Ketika Datuk Seri (Anwar) berucap, beberapa kali dalam ucapan beliau menyebut nama pengasas dan presiden kami, Oms Thiagarajan malah sejurus selepas berucap beliau bergegas duduk di meja kami di sebelah Oms. Untuk makluman, persahabatan antara Anwar dan Oms erat kerana sama-sama berjuang untuk kebajikan rakyat sejak puluhan tahun.

“Malah susah dan senang itu, Oms sentiasa di sisi beliau sepanjang persahabatan itu. Ketika berucap, Anwar berkata apa-apa urusan berkaitan NGO boleh menghubungi saudara Oms sendiri bagi tindakan susulan atau sebarang penyelesaian.

“Sememangnya kami dalam Arima sendiri yakin itu bukan sekadar kata-kata seorang ahli politik tetapi keikhlasan diri beliau yang bersama-sama mengharungi perit jerih kesusahan sebelum bergelar Perdana Menteri pada hari ini,” katanya.

Prakash berkata, beberapa isu penting akan diberikan perhatian oleh Anwar dan akan ada pengumuman berkaitan perkara itu pada Belanjawan 2024 ini.

Antaranya termasuklah isu pendidikan, kemiskinan, kewarganegaraan kad pengenalan merah yang juga isu amat penting sejak puluhan tahun ini.

Kata Prakash lagi, Arima mengalu-alukan kesemua komitmen yang telah ditunjukkan oleh Anwar dan pihaknya akan berterusan menyokong perjuangan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga tidak kira apa jua keadaan.

“Pihak kami juga sentiasa memanjangkan isu masyarakat, cadangan dan juga penyelesaian kepada perhatian beliau dari masa ke semasa, walaupun kini bebanan tugasan beliau (Anwar) semakin besar dan banyak, namun masa tetap diberikan kepada perkara dibangkitkan oleh pihak kami.

“Kami berharap komitmen ini akan terus berpanjangan sepanjang beliau bergelar Perdana Menteri dan sokongan tidak berbelah kami juga akan terus kami terjemahkan melalui gerak kerja berterusan pada setiap masa,” ujarnya. -MalaysiaGazette