KUALA LUMPUR – Mara Liner berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM19.93 juta meskipun menanggung kerugian daripada perkhidmatan bas berhenti-henti dan bas ekspres, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.
Menurut laporan itu, hasil keuntungan tersebut adalah melalui perkhidmatan myBAS dan aktiviti lain manakala bagi perkhidmatan bas berhenti-henti dan bas ekspres telah mengalami kerugian.
“ Secara umumnya, keuntungan dijana berjumlah RM19.93 juta telah digunakan bagi menampung kerugian operasi perkhidmatan bas berhenti-henti dan bas ekspres berjumlah RM15.92 juta,” menurut laporan itu.
Menurut LKAN, meskipun kedua-dua perkhidmatan berkenaan mengalami kerugian, MARA Liner masih meneruskan tanggungjawab khidmat sosialnya untuk menyediakan pengangkutan awam di luar bandar selaras dengan dasar negara.
Dalam masa sama, Mara Liner turut mampu mencatatkan keuntungan dan membayar dividen berjumlah RM122,481 dan RM41,937 kepada MARA dan MARA Corporation bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 kerana kedudukan kewangan syarikat berkenaan yang stabil.
“Kedudukan kewangan Mara Liner adalah stabil kerana mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tempoh tahun kewangan 2019, 2020 dan 2021 serta keuntungan terkumpul setakat 31 Dis 2021 berjumlah RM7.42 juta,” menurut laporan itu.
Dalam masa sama, MARA Liner yang melaksanakan 103 laluan sosial perkhidmatan bas yang meliputi sembilan negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kedah, Melaka, Perak, Johor, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perlis telah mencapai objektif pengkorporatannya.
Pencapaian tersebut merupakan hasil perkhidmatan bas berhenti-henti bagi 89 laluan sosial di kawasan luar bandar dan perkhidmatan myBAS bagi 14 laluan sosial.
Selain itu, LKAN memaklumkan bilangan pemandu bas berhenti-henti tidak mencukupi bagi tempoh Julai 2019 hingga Julai 2022.
“Secara purata bulanan, antara 12 hingga 31 jawatan pemandu bas belum diisi,” menurut laporan itu.
Sehubungan itu, Audit mengesyorkan agar pihak MARA Liner memastikan tahap perkhidmatan minimum myBAS dipatuhi untuk mengelakkan penalti yang dikenakan.
MARA Liner disyorkan untuk menggiatkan tindakan mengambil dan mengekalkan pemandu bas supaya operasi perkhidmatan bas tidak terganggu. – BERNAMA