KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari tampil menyuarakan isu anak muda yang tidak diberikan elaun sewajarnya ketika menjalani latihan industri terutama di sektor swasta.
Beliau berkata, ia termasuk kebajikan pelatih industri yang seolah-olah dieksploitasi oleh majikan dengan alasan menimba pengalaman di sektor swasta.
“Pihak kerajaan perlu memandang perkara ini sebagai satu perkara yang serius walaupun Akta Kerja (Pindaan) 2022 Seksyen 2 menyatakan pelajar internship akan tertakluk bawah Akta Pekerja jika tempoh internship melebihi enam bulan dan kurang dua tahun akan dikira sebagai pekerja sekalipun surat tawaran pekerjaan menyatakan dia hanya pelatih industri.
“Namun begitu, kebanyakan tempoh latihan industri kurang daripada enam bulan. Ini bermaksud kebajikan pelatih industri di luar sana masih menjadi taruhan sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah yang proaktif untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Justeru itu, Fadhli menyarankan kepada kerajaan agar mengambil langkah intervensi untuk menguatkuasa pemberian elaun kepada pelatih industri di sektor swasta.
Seterusnya, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memberikan perhatian yang serius terhadap isu guna tenaga tidak penuh atau disebut sebagai underemployment.
“Perkara ini berikutan dengan fakta dari Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu 36.7 peratus anak muda yang berlata rbelakang pendidikan tinggi, namun bekerja di bawah paras pendidikan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette