MELAKA – Sebuah pasar raya terkenal di Ayer Keroh, di sini, diserbu pihak berkuasa hari ini selepas didapati menjadikan
tingkat atas bangunannya sebagai asrama kepada tujuh pekerja asingnya.
Serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd. Asri Abdul Wahab.
Menurutnya, sebelum ini syarikat sama pernah diberikan amaran kerana gagal memiliki Sijil Kelulusan Mendudukan Bangunan (CF) dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Sijil Perakuan Penginapan oleh JTK.
“Hari ini, ketika serbuan syarikat ini masih mengulangi kesalahan sama apabila hasil pemeriksaan mendapati pekerjanya mengaku mereka menempatkan tujuh pekerja asing di bangunan itu.
“Memang tahun lepas syarika pasar raya ini ada memohon kepada JTK untuk menempatkan pekerja mereka dalam bangunan pusat beli belah itu, namun ditolak kerana mereka tidak mendapat sijil CF daripada PBT.
“Kita pun dah arahkan semua pekerja-pekerja warga asing itu segera dipindahkan ke tempat lain namun mereka masih berdegil menjadikan ruang tingkat atas bangunan sebagai kediaman pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Pematuhan Gaji Minimum (PGM) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut juga mendapati, pihak majikan juga melakukan kesalahan lain kerana tidak menyediakan lokar berkunci untuk pekerjanya menyimpan barangan berharga.
“Selain itu, kita percaya, syarikat ini juga melakukan kesalahan di bawah bidang kuasa Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sehubungan itu, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya.
Tambah beliau, sabit kesalahan, majikan berkenaan boleh didenda RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd. Asri berkata, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka berkaitan kegagalan majikan mematuhi syarat pembayaran perintah gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan.
“Sebanyak 110 syarikat termasuk kawalan keselamatan diperiksa untuk memastikan pekerja sektor itu dibayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.
“Kita juga akan menyiasat sekiranya berlaku pelanggaran berkaitan isu kadar upah lebih masa (ORP) kerana semakan awal mendapati ada berkemungkinan majikan tidak membuat perkiraan bayaran gaji lebih masa dengan kaedah yang betul,” katanya – MalaysiaGazette.