Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tiada salahnya jika kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, masih ada jalan tengah untuk menyelesaikan perkara itu memandangkan masih ramai yang baru memulakan kehidupan selepas Covid-19.

“Saya rasa, kerajaan boleh meletakkan syarat-syarat tertentu seperti baki pengeluaran mestilah berada pada paras yang baik kepada pencarum berkenaan.

“Sebagai contoh mereka yang mahu memulakan perniagaan. Ada antara mereka yang memerlukan duit itu untuk membeli keperluan berniaga mungkin dalam harga RM3,000, jadi kerajaan boleh tolong dengan menggunakan duit pencarum tersebut.

“Kerana itu saya katakan, dengan syarat-syarat tertentu, perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan,” katanya menerusi program SKOP MG.

Beliau berkata, biar pun ada banyak pandangan terhadap perkara ini, namun ia wajar dipertimbang dan diperhalusi agar rakyat rasa terbela.

“Saya ada dengar penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat menyatakan pengeluaran sudah dibuat ketika Covid-19 dan kini sudah melepasi tempoh itu.

“Ada juga pandangan menyatakan bahawa kalau keluar sekarang, nanti sudah tua tak ada duit.

“Cuma masalah rakyat juga harus diberi keutamaan dan itulah tugas kerajaan,” katanya lagi.

Pada masa sama, Manndzri berkata, bukan semua pencarum mahu pengeluaran ini sebaliknya hanya mereka yang benar-benar memerlukan sahaja berharap ia dapat diberikan.

“Saya juga melihat, selain syarat-syarat ini, kerajaan boleh mengadakan sesi temu duga kepada pencarum.

“Apabila kita cakap soal bersasar ini, inilah mungkin yang boleh dilakukan, lagi pula ini berkaitan duit simpanan pencarum,” ujarnya.

Ditanya mengenai jika pengeluaran diberikan pada tempoh terdekat ini setelah hampir dengan musim perayaan, Manndzri berkata perkara itu tiada kaitan.

“Tolak tepi soal nak sambut hari raya. Saya pasti yang nak duit ini bukannya nak guna untuk keperluan hari raya tetapi mereka nak guna untuk kelangsungan hari ini lebih-lebih lagi yang mahu memulakan perniagaan.

“Apabila pemberian bersasar ini, sudah pasti keutamaan mereka kelangsungan kehidupan. Duit yang ada bukan untuk beli baju baharu tetapi untuk mendapatkan baju untuk dipakai.

“Kita kena akui, masih ramai di luar sana yang baru nak bermula kehidupan mereka dan tidak memikirkan soal cantik dan mahal tetapi hanya untuk keperluan harian mereka,” katanya.

Jelasnya, kerajaan boleh melakukan perkara ini dengan lebih baik selepas melakukan libat urus dengan pelbagai pihak agar nasib rakyat terus dapat dibela.

Sebelum ini, isu pengeluaran KWSP sudah dinyatakan oleh Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan hasrat itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan baru-baru ini. – MalaysiaGazette