Pegawai Penguatkuasa Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak dan Baja menunjukkan barang rampasan racun siput gondang emas yang tidak berdaftar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Pertanian merampas sebanyak 10,125 bungkusan racun makhluk perosak tidak berdaftar dengan nilai pasaran berjumlah RM50,625 dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Gajah, Perak pada awal bulan lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam, seramai 13 orang anggotanya telah digerakkan untuk menyerbu premis terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebanyak 81 kotak yang di dalamnya mengandungi 124 peket 40 gram (g) racun siput tidak berdaftar.

“Jumlah kesuluruhan racun siput yang dirampas sebanyak 10,125 peket dan siasatan mendapati racun tersebut dijual RM5 sepeket serta dijual secara dalam talian,” katanya pada sidang media rampasan racun perosak tidak berdaftar di Wisma Tani hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan bercakap pada sidang media mengenai barang rampasan racun siput gondang emas yang tidak berdaftar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 FEBRUARI 2023.

Jelas Zahimi, racun makhluk perosak tidak berdaftar tersebut adalah sejenis racun siput yang digunakan untuk mengawal siput gondang emas (SGE) di kawasan tanaman padi.

“Berdasarkan maklumat pada label produk tersebut, racun makhluk perosak ini diseludup dari negara China dan mengandungi fentin acetate yang diklasifikasikan sebagai sangat toksik dan berbahaya kepada alam sekitar terutamanya kehidupan akuatik.

“Sehubungan itu, Jabatan Pertanian telah menyenaraikan racun terbabit sebagai salah satu racun makhluk perosak yang diharamkan penggunaannya di Malaysia,” jelasnya.

Tambah Zahimi, kawalan sedia ada bagi SGE adalah dengan menggunakan racun makhluk perosak berdaftar yang menggunakan perawis aktif seperti metaldehyde, niclosamise dan niclosamise-olamine.

“Pada masa kini terdapat sebanyak 22 produk racun siput berdaftar yang boleh digunakan oleh petani. Racun perosak ini telah dinilai dari segi kualiti dan keberkesanannya serta mempunyai tahap toksisiti yang rendah kepada manusia, haiwan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan akan didakwa di bawah Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Di bawah akta tersebut, tiada seorang pun sama ada diberikan lesen atau tidak dibenarkan menjual atau menyimpan untuk jualan sesuatu racun makhluk perosak yang salah jenama atau tidak didaftarkan.

Jika disabitkan kesalahan kali pertama, boleh dipenjara selama tiga tahun atau denda RM10,000 dan apabila sabit kesalahan kali kedua atau kemudiannya, penjara selama enam tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast