Foto Facebook BRM FC.

KUALA LUMPUR – Kuala Kangsar BRM FC (BRM FC) yang baharu sahaja melancarkan jersi pasukan memberikan bayangan untuk menarik diri daripada persaingan Liga M3 2023.

Keputusan drastik itu mungkin terpaksa diambil selepas Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) melarang kelab itu daripada menggunakan jersi yang memaparkan logo penaja daripada jenama rokok elektronik (e-rokok).

Larangan tersebut telah menjejaskan kelab yang bakal membuat penampilan kedua dalam saingan Liga M3 itu kerana syarikat tersebut dikhabarkan merupakan penaja utama kelab itu.

Perkembangan terkini itu disahkan sendiri oleh BRM FC menerusi kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut, Ghafari Nasir.

“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perkara yang berlaku berkaitan isu penajaan daripada sebuah syarikat rokok elektronik.

“Rentetan isu ini, berkebarangkalian besar pasukan Kuala Kangsar BRM FC akan menarik diri daripada saingan Liga M3 2023 atas masalah penajaan yang kami hadapi.

“Ahli Lembaga Pengarah kelab akan bermesyuarat dan membuat keputusan dalam masa yang terdekat,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan, BRM FC telah mengadakan sesi pengenalan pemain, jersi dan penaja pasukan di Stadium Mini Kuala Kangsar.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan turut diserikan dengan satu perlawanan persahabatan menemukan pilihan kelab tersebut menentang Super Lawak FC.

BRM FC merupakan antara pasukan yang mampu melakar kejayaan apabila mara ke separuh akhir Liga M3 musim lalu selepas tewas menerusi jaringan di tempat lawan ketika bertemu naib juara, Kuala Lumpur Rovers. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast