MELAKA – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung seorang anggotanya yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.
Ia susulan penularan beberapa klip video kejadian itu yang tersebar di laman sosial Facebook sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya turut menerima satu laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota lelaki berusia 36 tahun itu yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh.
“Siasatan lanjut masih dijalankan meliputi pelbagai elemen termasuklah kita telah menghantar sampel video itu ke bahagian forensik dan sebagainya untuk ditentukan kesahihan seperti dilaporkan pengadu.
“Tentunya saya tidak akan berkompromi dalam isu ini dan jika ada bukti berlaku salah laku melibatkan anggota (berkenaan), saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi yang disempurnakan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, kes berkenaan disiasat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
“Setakat ini, anggota berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang,” katanya.
Semalam, tular hantaran di Facebook beberapa klip video memaparkan seorang lelaki berjaya menangkap isterinya bersama anggota polis berkenaan yang tidur di rumahnya dan telah menjalinkan hubungan sulit sejak setahun yang lalu. – MalaysiaGazette