Restoran Jasmine London dan Wawasanita akan menganjurkan acara 1 Asia Good Fiesta, pada 5 hingga 7 Mei ini.

KUALA LUMPUR – Restoran Jasmine di London menjalinkan kolaborasi dengan Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) dalam usaha memasarkan produk anak tempatan di United Kingdom (UK).

Pemilik restoran itu, Datin Seri Mastura Yusoff berkata, menerusi kerjasama tersebut, usahawan tempatan berpeluang membekalkan barangan sedia eksport untuk pengembangan global.

Beliau berkata, restoran itu menyediakan ruang untuk mempamerkan barangan usahawan Malaysia bagi mewujudkan hab terutama untuk peserta industri kecil dan sederhana.

“Inisiatif untuk mempromosikan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan United Kingdom serta Eropah ini akan membantu aktiviti eksport dengan lebih cekap dan produktif.

“Dengan kepakaran dan pengetahuan oleh bahagian Misi Perdagangan WAWASANITA  produk usahawan negara ini mampu memenuhi penawaran dan permintaan pedagang United Kingdom dan pengembangan perniagaan-ke-perniagaan (B-to-B),” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis menandatangani memorandum dengan WAWASANITA yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Datin Norly Alias berlangsung baru-baru ini.

Menerusi MoU itu, kedua-dua entiti akan bekerjasama dalam membentuk perkongsian strategik, pemadanan perniagaan, penjenamaan dan mempromosikan usahawan Malaysia sebaik mungkin untuk menjadikan sebagai pemudahcara sebuah perjalanan ‘Local Go Global’ – # Export Ready dapat dicapai.

Mengulas lanjut, Mastura memberitahu, Restoran Jasmine dan WAWASANITA akan menganjurkan acara dikenali 1 Asia Good Fiesta di restoran tersebut bersama peserta dari United Kingdom Muslim Community dan Kedutaan (Baris Kedutaan Asia) untuk mempromosi dan memasarkan produk  usahawan Malaysia pada awal Mei depan.

“Pada acara itu nanti,  peserta akan mempromosi dan menghidangkan makanan istimewa dan masakan perayaan negara mereka untuk dinikmati oleh semua sempena Sambutan Aidilfitri 2023.

“Sempena penganjuran majlis tersebut, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan wakil kementerian di London bakal hadir bagi  menyokong Restoran Jasmine dan WAWASANITA dalam semangat menyokong usahawan tempatan di serata dunia,” katanya.

Sementara itu, Restoran Jasmine merupakan anak syarikat Mercu Group di bawah segmen makanan dan minuman (F&B) dan gaya hidup.

Terletak di kawasan elit London, Lexham Gardens, Kensigton, London, ia merupakan sebuah restoran milik anaka Malaysia sejak 2021 untuk memenuhi keperluan tempahan makan tengah hari dan makan malam penduduk tempatan dan pelancong. 

Restoran Jasmine kini meletakkan jenamanya sebagai destinasi ‘Must Go/Pinned Location’ untuk pelancong Malaysia dan pelawat antarabangsa, untuk menikmati, meneroka dan mengalami keramahan perjalanan ‘Truly Malaysia’ sepenuhnya. – MalaysiaGazette