PETALING JAYA – Tiga kali ditangkap dan didenda mahkamah namun masih tidak mahu insaf dan kembali aktif menjual air ketum.
Kegiatan lima rakan yang mengubahsuai dua bilik tidur di rumah sendiri sebagai tempat memasak dan stor penyimpanan daun dan cecair ketum akhirnya terbongkar dan ditumpaskan di Taman medan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 15 Februari lalu, pihaknya telah membuat serbuan sebuah rumah di Taman Medan.
Hasil serbuan polis berjaya menahan lima orang suspek lelaki warga tempatan berusia di antara 23 hingga 37 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua bilik di rumah milik suspek utama itu telah diubahsuai menjadi tempat memasak air ketum dan juga dijadikan setor penyimpanan daun ketum.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya menemui sebuah tong ais plastik penutup warga kuning yang mengandungi 92 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dengan berat keseluruhan berjumlah 138 liter (setiap botol bersukatan 1.5 liter) dan 10 bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi daun-daun ketum berjumlah 50 kilogram (5kg setiap bungkus),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, dalam pemeriksaan sama polis juga berjaya merampas peralatan yang digunakan suspek untuk memproses ketum iaitu empat dapur masak; empat periuk masak aluminium berpenutup saiz besar; empat tong gas memasak; dua penapis air aluminium; lapan penapis air jenis kain; satu gunting besi; sebuah jug plastik satu sudip kayu; dua corong air plastik; dua bakul plastik dan dua bekas plastik berwarna kuning.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan daum ketum dan air ketum itu adalah bernilai RM3,340.
Malah jelas Mohamad Fakhruddin, hasil analisa pasukan polis juga mendapati rampasan daun ketum dan air ketum berkenaan boleh dibekalkan kepada penggunaan 1326 orang di sekitar daerah tersebut dan setiap botol dijual dengan harga RM15 manakala daun ketum sebungkus (5kg) dijual pada harga RM40.
“Modus operandi kesemua suspek adalah memperoleh bekalan daun ketum dari sebuah negeri di Utara Semenanjung dan memproses di rumah serta menjual kepada pelanggan tetap yang ada dalam rangkaian mereka.
“Malah kesemua suspek tidak berpekerjaan tetap dan kegiatan memproses ketum dan menjual air ketum menjadi kegiatan sambilan secara aktif sejak tiga bulan yang lalu,” katanya.
Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk suspek utama berusia 30-an yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap dan didenda di mahkamah sebanyak tiga kali (terakhir 2019) atas kesalahan sama (proses ketum.
Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga 18 Februari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.-MalaysiaGazette