pinjaman Felcra
Isu pinjaman Felcra Berhad dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2.

KUALA LUMPUR – Baki tunggakan pinjaman pembangunan tanah peserta Felcra Berhad berjumlah RM312.22 juta telah ditukar status daripada pinjaman kerajaan kepada ekuti kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria berkata, penukaran status tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu.

Menurut beliau, langkah itu menunjukkan betapa kerajaan amat prihatin terhadap isu bebanan hutang pembangunan tanah yang dihadapi oleh Felcra.

“Kelulusan ini telah memberi ruang kepada Felcra untuk memperkukuhkan kedudukan kewangannya bagi jangka masa panjang yang sekali gus dapat melunaskan tanggungjawab sosial kepada peserta dengan lebih besar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mat Roni Zakaria

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2, Felcra didapati mempunyai tunggakan hutang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada 2021, peningkatan ketara berbanding RM82 juta tahun sebelumnya.

Laporan yang sama turut menyatakan, berdasarkan surat pengesahan bertarikh 10 Januari 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman Felcra dengan kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2021 adalah sebanyak RM3.674 bilion.

Mat Roni menambah, walaupun Felcra berdepan dengan laporan kewangan yang kurang memberangsangkan dalam aspek tunggakan hutang dan keupayaan membayar dividen kepada kerajaan, pengurusan kewangan akaun peserta (projek penyatuan dan pemulihan) tetap menjadi agenda utama syarikat berkenaan.

Beliau memberitahu, Felcra menunjukkan pencapaian yang baik di mana dividen pada 2020 mencatatkan jumlah RM163 juta sebelum meningkat kepada RM478 juta pada 2021 dan RM517 juta pada 2022.

“Sebagai sebuah entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan), Felcra mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan dua teras utama pengoperasian syarikat perlu dilunaskan iaitu operasi perniagaan komersial dan mandat sosial syarikat untuk rakyat khususnya kepada peserta,” jelasnya. – MalaysiaGazette