KUALA LUMPUR – Juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman mengharumkan nama negara apabila berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraan pada Kejohanan Gusti New Breed di ibu negara malam tadi.
Emman yang digelar Golden Boy itu menewaskan ahli gusti dari Singapura, Endboss Gregory dan menamatkan perlawanan itu dengan teknik tersendiri iaitu KL Gold Running Elbow.
Menurut Emman, beliau pernah tewas di tangan Gregory dalam kejohanan gusti Grapple Max di Singapura empat tahun lalu.
“Alhamdulillah, Emman berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraan ini depan rakyat Malaysia di negara sendiri. Penat lelah Emman berlatih akhirnya berbaloi.
“Emman juga kagum melihat anak-anak muda tempatan seperti Miles Karu, Jack Alexander dan Tommy Ardhi menonjolkan bakat mereka bergusti dalam gelanggang. Ini menunjukkan kalau mereka boleh, anak-anak muda yang lain pun boleh.
“Selepas kemenangan ini, Emman akan balik ke Australia sebagai persiapan kejohanan di sana akan datang, dan sudah tentunya Emman akan mempertahankan tali pinggang ini lagi dan boleh bawa pulang untuk rakyat Malaysia dan negara,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Yap Yee Vonne mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selain Emman, turut meraih pencapaian membanggakan adalah penggusti negara, Miles Karu yang merangkul dua tali pinggang kejohanan sekaligus iaitu Juara Kebangsaan MYPW dan Juara Westlecon MYPW apabila menentang tiga penggusti di gelanggang.
Tiga penggusti yang tewas tersebut adalah penyandang tali pinggang Juara Kebangsaan MYPW, Cornelius Low; Juara WrestleCon, Crystal (Filipina) dan Tyson Reed (Australia).
Kejohanan Gusti New Breed itu menghimpunkan 12 ahli gusti dunia dari lima negara iaitu Australia, Singapura, Filipina, Jepun dan Dubai.
Untuk rekod, pada 26 November 2022, Emman Azman menjuarai Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks pada usia 22 tahun.
Sehubungan dengan itu, MYPW berhasrat mahu membuka kerjasama dengan mana-mana syarikat korporat untuk menaja kejohanan gusti akan datang, seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam melibatkan belia dalam aktiviti kesukanan seperti gusti. – MalaysiaGazette