Gambar hiasan

MUDAH untuk kita mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang riang dan indah, sebelum beban dan tanggungjawab sebagai orang dewasa bermula. Namun begitu, pengalaman membesar pada zaman ini adalah sangat berbeza. Di seluruh dunia, ramai orang muda bergelut dengan kesihatan mental yang kurang baik. Dianggarkan 86 juta orang muda berusia 15 ke 19 tahun hidup dengan diagnosis kesihatan mental. Antaranya, 50% bermula pada umur 14 tahun dan 75% pada pertengahan 20-an.

Apa maknanya statistik itu kepada anak-anak muda kita? Ini bermakna isu kesihatan mental menyerang di saat mereka sedang berada di waktu penting kehidupan akademik mereka yang menjangkau masa dari persekolahan menengah hingga ke kolej dan universiti.

Sebelum kita menganggap masalah ini berpunca daripada gaya hidup dan falsafah asing, mari kita lihat statistik tempatan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati masalah kesihatan mental yang paling tinggi tersebar luas dalam kalangan mereka yang berumur 16 ke 19 tahun yang mana 18.3% mengalami kemurungan, manakala 10% lagi mempunyai kecenderungan berfikir untuk membunuh diri.

Apa yang lebih merisaukan adalah peningkatan berterusan dalam kes-kes yang dilaporkan iaitu dari 10.6% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada 2015 yang melibatkan anak-anak muda berusia 16 tahun ke atas. Antara faktor yang dikaitkan dengan peningkatan ini termasuklah pengangguran, masalah kewangan, isu keluarga dan perhubungan, yang ditambah pula kemahiran daya tindak yang lemah dan kurangnya sokongan sosial.[v]

Biarpun pandemik Covid-19 memberi kesedaran dan tumpuan mengenai isu kesihatan mental dan saluran sokongan yang tersedia, masih terdapat banyak kekangan kepada rawatan seperti lemahnya pemahaman mengenai masalah kesihatan mental, takut akan stigma sosial dan perasaan malu, kurangnya sokongan sosial dan kesukaran mendapatkan khidmat profesional dalam menangani isu tersebut.

Bagi pelajar universiti yang ke luar negara untuk menamatkan pengajian mereka, perkara ini boleh menjadi masalah yang lebih buruk. Untuk mencari penyelesaian kepada isu ini, universiti seperti Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sering bekerjasama rapat dengan fakulti-fakulti rakan universitinya bagi memastikan kesejahteraan para pelajar terjaga dan mendapat sokongan penuh, selain menyediakan penanda aras tentang bagaimana para pelajar IMU bertahan di luar negara. Sokongan boleh datang dalam bentuk inisiatif yang diterajui pelajar sendiri seperti sokongan rakan sebaya di mana pelajar menghulurkan bantuan secara efektif dan sesi-sesi kaunseling bersama peneraju akademik, pembimbing kanan dan/atau kaunselor profesional.

Goh You, seorang pelajar pertukaran tahun kelima di Universiti Edinburgh, berkongsi perspektifnya mengenai isu kemurungan, kebimbangan, insomnia dan kelesuan yang mana menurutnya adalah perkara biasa dalam kalangan pelajar berpunca pelbagai sebab dan semakin memburuk kerana berjauhan dari keluarga.

Berpindah dari Malaysia yang bercuaca panas ke kota Edinburgh yang dingin, membuatkan Goh menyedari yang hal kecil pun menjadi satu peringatan kepada dirinya yang dia berada jauh dari tanah air. Misalnya, apabila berlakunya kekeliruan nama sendiri dan nama keluarga/bapa dan kesukaran memahami loghat Inggeris Scotland. Musim sejuk yang berpanjangan dan awalnya matahari terbenam turut sukar ditanggung. “Ada masanya saya tidak dapat melihat matahari selama berhari-hari. Berada di wad hospital dari jam 8 pagi dan balik pada jam 5 petang dan ketika itu hari sudah pun gelap,” katanya.

”Semua itu menyumbang kepada satu perasaan bahawa ini bukan tempat saya dan kita perlu berusaha lebih lagi untuk membina perhubungan dalam cabaran budaya dan sosial yang berbeza. Secara keseluruhannya, besar perbezaannya apabila anda dapat membina sistem sokongan yang betul dan tahu bila, di mana dan bagaimana hendak mendapatkan bantuan yang kita perlukan.”

”Sebelum ke luar negara, Goh memanfaatkan sepenuhnya taklimat-taklimat pra-perjalanan dan sesi temu mesra bersama fakulti rakan kongsi di bawah mesyuarat Majlis Akademik IMU bagi mempersiapkan dirinya menghadapi perubahan-perubahan mendatang. Sebaik tiba di Edinburgh, Goh memastikan yang dia menerima hakikat kehidupan baharu yang jauh dari keluarga dengan cara mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sambutan pelajar baharu seperti perkelahan pelajar baharu bersama pelajar lama yang menggalakkan hubungan sesama pelajar, selain meneroka kota Edinburgh bersama rakan-rakan sekampus untuk membiasakan dirinya dengan persekitaran baharu.

Biarpun secara umum pengalaman Goh adalah positif, ramai pelajar – tempatan dan luar negara – yang bergelut dengan masalah kesihatan mental yang ada masanya boleh membawa kepada perubahan tingkah laku kronik dan berpanjangan. Pada kebanyakan masa, tanda-tanda seperti susah untuk tidur, mudah marah atau menarik diri dari aktiviti sosial mudah dikesan keluarga terdekat, kawan-kawan dan orang lain seperti rakan sepengajian/sekelas atau guru.

Berikut adalah beberapa perubahan tingkah laku yang perlu diperhatikan menurut kaunselor dari Unit Perkembangan Diri IMU:

· Gangguan pada corak tidur. Ini termasuklah kesukaran untuk tidur dan susah pula untuk bangun tidur, terjaga di tengah malam atau tidur berlebihan.

· Ledakan emosi seperti terlalu sensitif, mudah jengkel/sakit hati atau mudah marah

· Kelesuan yang berterusan atau selalu penat

· Daya penumpuan yang lemah, termasuklah mudah terganggu ketika bersembang

· Perubahan ketara dalam tabiat pemakanan dan/atau perubahan berat badan yang tiada kaitan dengan isu kesihatan fizikal

· Menarik diri secara sosial. Seseorang itu mungkin mengelak atau menarik diri dari aktiviti sosial, kurang aktif, lebih banyak berdiam diri atau tidak ikut serta dalam kumpulan sosial. Mereka juga mungkin mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain

· Corak tingkah laku yang diterangkan di atas muncul secara berterusan dan bukannya pada satu-satu masa sahaja atau dalam waktu yang singkat.

Beberapa tanda amaran itu dengan mudah boleh disalaherti atau disalahtafsir dalam konteks sosial yang berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk kita bersabar dalam memahami tingkah laku seseorang apabila ia boleh menunjukkan kemungkinan risiko kesihatan mental.

Mengenal pasti tanda-tanda amaran hanyalah langkah pertama. Langkah seterusnya adalah menawarkan sokongan kepada individu yang sedang bergelut dengan kesihatan mental. Para kaunselor di Unit Pembangunan Diri IMU berkata, adalah sangat penting untuk mendengar kata hati kita, yang mana seringkali tanda-tanda itu sebenarnya sudah ada dan memberitahu kita ada sesuatu yang tidak kena, tetapi kita mungkin buat-buat tidak tahu dan tidak mengendahkannya. Adakala, kita mungkin berasa bimbang akan keselamatan diri sendiri.

Berikut adalah pesanan mereka yang berdasarkan model NEC:

· Notice (Sedar) – beritahu orang itu yang anda risau dengan pemerhatian anda mengenainya seperti, “Saya perasan yang awak kurang makan/tidur sejak akhir-akhir ini.’

· Express concern (Nyatakan kebimbangan) – beritahu yang anda bimbangkan mereka dan tawarkan ruang dan privasi untuk anda mendengar masalah mereka dan menyokong mereka dalam apa sahaja keadaan. “Saya risaukan kamu. Apa yang berlaku? Saya di sini jika kamu ingin berbual.”

· Connect them to someone who can help (Hubungkan mereka dengan orang yang boleh membantu) – cadangkan seseorang atau sumber di mana mereka boleh mendapatkan bantuan yang diperlukan, atau tawarkan diri anda untuk menemani mereka apabila mereka sudah bersedia untuk mendapatkan bantuan professional. Contohnya, ‘Saya mungkin tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini sekarang, tetapi saya ada seorang kawan yang mendapatkan bantuan daripada XYZ; mungkin kita boleh ke sana bersama-sama?”

Mendapatkan sokongan yang betul adalah sangat penting dalam menguruskan kesihatan mental. Namun begitu, ketika ini sekitar 20% sahaja rakyat Malaysia yang menderita masalah kesihatan mental yang mendapat rawatan serta penjagaan profesional.[vi] Sebagai bantuan, terdapat beberapa pilihan yang tersedia untuk individu dan/atau penjaga mereka, termasuklah:

o Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). Banyak organisasi yang menawarkan sokongan kesihatan mental dengan bayaran yang berpatutan seperti khidmat kaunseling AGAPE, SOLS 24/7 dan Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)

o Hospital-hospital kerajaan. Surat rujukan diperlukan yang boleh didapati daripada doktor

o Unit-unit kaunseling di pusat-pusat pengajian tinggi

o Pengamal kesihatan mental swasta (termasuklah pakar psikiatri swasta, pakar psikologi klinikal dan kaunselor)

o Program-program praktikal/latihan amali di university-universiti tertentu seperti di IMU

Untuk mendapatkan senarai sumber khidmat kesihatan mental yang lebih komprehensif, sila rujuk halaman https://sites.google.com/view/psymalaysia/.

Pada tahun-tahun mendatang, sumber-sumber ini berkemungkinan besar akan menjadi lebih komprehensif memandangkan Rancangan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 menyasar untuk membangunkan lagi perkhidmatan kesihatan mental negara dan bergerak ke arah penjagaan berasaskan komuniti supaya lebih ramai orang boleh mendapatkan bantuan.[vii]

Sementara itu, usaha berterusan setiap daripada kita termasuklah organisasi-organisasi yang terlibat dalam memastikan kesedaran dan pemahaman yang lebih meluas mengenai kesihatan mental pada setiap peringkat masyarakat diharap dapat menyingkirkan setiap halangan kepada rawatan supaya setiap orang yang memerlukannya dapat tampil ke hadapan dan menerima bantuan yang mereka perlukan.

 

Artikel disumbangkan oleh  International Medical University

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast