KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui tujuh buah Hospital Pengajar Universiti (HPU) telah membuat sumbangan bekalan perubatan kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria hari ini.

HPU yang terlibat adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) UIAM, Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM dan Hospital Pengajar UPM (HPUPM).

“Bekalan ubat-ubatan yang disumbangkan adalah berdasarkan
senarai keperluan ubatan yang dipohon oleh Kerajaan Turkiye
melalui Malaysian Medical Relief Society (MERCY) yang terdiri
daripada 112 jenis ubat yang menelan kos sebanyak RM122,223.11 secara keseluruhannya,” kata KPT dalam satu kenyataan.

Serahan bekalan ubat-ubatan tersebut oleh HPU kepada MERCY Malaysia disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam sesi pertemuan ringkas tersebut, pihak MERCY Malaysia telah memaklumkan berkenaan keadaan terkini di ground zero kedua-dua buah negara.

KPT melalui PPUM dan HCTM UKM telah menghantar tiga orang pegawai perubatan bagi menyertai MERCY Malaysia dan kini berada di Turkiye/Syria.

Selain sumbangan ubat-ubatan, KPT juga menggerakkan usaha untuk mengumpul sukarelawan daripada HPU yang terdiri daripada pegawai perubatan dan sukarelawan-sukarelawan lain.

Sehubungan itu, seramai 94 orang sukarelawan perubatan dan 232 orang sukarelawan bukan perubatan daripada HPU telah menawarkan diri mereka untuk menyertai misi kemanusiaan di Turkiye dan Syria.

KPT akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain untuk terus komited dalam menggerakkan usaha untuk menghulurkan bantuan kepada Turkiye dan Syria sejajar dengan nilai keenam kerangka Malaysia MADANI iaitu nilai ‘Ihsan’ yang membawa makna peduli dan belas kasihan.

KPT mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah membantu menggerakkan usaha misi kemanusiaan sebagai satu pasukan.- MalaysiaGazette