Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama Pengarah Urusan AeoN Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed melihat barangan yang dijual dalam Program Rahmah pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Payung Rahmah bersama Aeon Big (M) Sdn Bhd di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak mungkin ada peniaga yang sanggup sabotaj Menu Rahmah dengan menggunakan bahan masakan tidak berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu agak mustahil berlaku kerana syarikat serta peniaga sudah dikenali dalam kalangan pengguna mereka.

“Saya tidak percaya ada syarikat yang namanya sudah besar atau individu yang memang meniaga hatta warung kecil di kampung akan berkompromi soal kualiti.

“Contohnya ikan sudah busuk, sayur sudah dicampak tepi jalan dan dimasak untuk Menu Rahmah. Saya tidak fikir begitu, saya yakin tidak ada mereka yang sengaja salah guna Menu Rahmah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Datuk Seri Salahuddin Ayub

Salahuddin yakin  peniaga bukan hanya pentingkan soal kualiti malah ia termasuk kuantiti bahan hidangan yang ditawarkan untuk Menu Rahmah.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan terdapat dua restoran makanan segera antarabangsa telah bersetuju menawarkan Menu Rahmah.

Katanya, perkara itu akan dilancarkan pada awal Mac ini bagi memeriahkan lagi Program Rahmah yang semakin mendapat tempat dalam kalangan syarikat korporat besar.

Selain itu, Salahuddin turut mendedahkan beberapa perancangan awal kementeriannya dalam meringankan beban penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pembukaan Kafe Rahmah.

“Selepas Aidilfitri nanti, kita akan buat Kafe Rahmah di IPT (institusi pengajian tinggi) tempatan yang kita sasarkan di Kuala Lumpur dahulu.

“Jangan mereka melanda dengan isu kelaparan atau tidak cukup duit poket. Ada Menu Rahmah untuk mereka dan inilah jangka pendek kementerian dalam kita berdepan isu kos sara hidup,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hasil pemantauannya terhadap harga sayuran di pasaran kini dilihat sudah mula menurun.

Katanya, hasil perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kenaikan harga sayur-sayuran sebelum ini adalah disebabkan faktor musim tengkujuh. – MalaysiaGazette