senjata
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ketenteraan tidak wajar dan mengundang keresahan awam.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memandang serius mengenai satu acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.

Menurut beliau, perarakan replika bersenjata yang tular dalam media sosial itu telah menimbulkan kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (kaum, agama, raja) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemuda yang memakai pakaian ala tentera Islam zaman silam pada program Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang dikaitkan dengan Pas baru-baru ini.

Beliau menambah, insiden itu kemudian disiar dalam bentuk rakaman video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.

Saifuddin seterusnya mempersoalkan adakah ia bermaksud perarakan itu bermaksud menyuntik semangat perang.

“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.

Saifuddin memberitahu, segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada bukan melalui tindakan bersifat provokatif.

“Saya ingin menyeru dan mengajak rakyat untuk bersama-sama menyahut seruan Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri yang antaranya mempromosikan elemen kesejahteraan, hormat dan ihsan dalam kalangan rakyat.

“Marilah kita menghargai dan memaknai perpaduan Malaysia ini dengan sepenuhnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast