KUANTAN – Dua rakan kepada Muhammad Ikhmal Hakim Ahmad yang dikhuatiri lemas di Teluk Cempedak tidak menyangka mangsa tidak sempat menyelamatkan dirinya.
“Saya ingat dia (mangsa) ada di belakang saya,” kata Amirul Izzat Zainal Abidin, 19 ketika ditemui di sini hari ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dia dan Fadly Simon, 20, bersama mangsa sedang mandi di pantai tersebut.
Menurut Amirul, air pantai dilihat tenang sebelum secara tiba-tiba arus mula laju berserta ombak besar membuatkan mereka mengambil keputusan untuk naik ke darat.
“Ketika itu saya dan mangsa nak naik ke darat tapi dalam perjalanan kami tiba-tiba terjatuh ke dalam teluk. Saya pun hampir lemas ketika itu dan saya sempat menarik tangan mangsa.
“Saya sangka mangsa ikut bersama-sama saya tapi tidak sangka bila saya pusing belakang saya lihat mangsa sudah tiada,” katanya.
Cemas dengan kejadian tersebut, kedua mereka cuba berenang untuk mencari mangsa namun gagal.
Sementara itu, Fadly pula memberitahu, dia terlebih dahulu naik ke pantai dan sempat melihat mangsa tenggelam sebelum hilang dari pandangan.
Menceritakan detik-detik itu, dia turut rasa terkilan kerana tidak dapat menghadiri temuduga di sebuah syarikat pam minyak pada hari esok bersama mangsa.
“Hari ini kami ambil keputusan untuk beriadah di pantai sebelum menghadiri temuduga kerja itu esok,” katanya lagi.
Kedua-dua mereka menyifatkan Ikhmal sebagai seorang yang ceria dan kelihatan sangat gembira sebelum kejadian menimpa mangsa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hajat Ikhmal jadi wali nikah saya tak kesampaian – Saidatul Aina