KUALA LUMPUR – Penganut Islamofobia tidak sepatutnya menjadikan perarakan sekumpulan ahli Pemuda Pas Terengganu yang berpakaian seperti pahlawan Islam zaman silam sebagai satu isu besar sehingga melibatkan siasatan polis.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, tidak salah bagi peserta-peserta Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) itu untuk berbangga dengan sejarah kegemilangan Islam.
Menurut beliau, pemakaian baju perisai kalis panah serta baju kulit dan busur serta tombak dan perisai lambang kehebatan pejuang Islam zaman generasi al-Quran yang ditarbiah oleh Rasulullah SAW bukan melambangkan pemakaian pengganas seperti yang digambarkan oleh golongan Islamofobik di seluruh dunia.
“Sepatutnya kalian membina kekuatan sendiri bagi berhadapan kemaraan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung beberapa bulan lagi.
“Untuk adik-adik Dewan Pemuda semua, janganlah berasa lemah semangat dengan intimidasi, perlecehan, asakan pembuli siber,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyifatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam sebagaimana berlaku di Terengganu kelmarin amat tidak wajar.
Katanya, perarakan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.
Riduan turut mempersoalkan kenyataan Mohd. Na’im berhubung program tahunan yang diadakan di Kem Seri Bari, Setiu itu.
“Mengapa tidak responsif dengan cosplay yang jauh lebih barbarik? Tak patuh syariah, animae serta penonjolan zaman gelap Eropah.
“Mengapa bersikap terpilih dalam merespon Himpit yang dianjurkan oleh Pemuda Pas, himpunan yang mengumpul ribuan orang muda seperti ini memicu kedengkian dan kebimbangan kalian,” katanya.
Beliau juga secara sinis menyatakan dirinya terasa sangat ‘dungu’ apabila membaca komen-komen pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) yang seolah-olah tidak pernah hadir dalam kehidupan jemaah Islam Pas.
“Arogansi mereka sangat luar biasa sehingga memohon pihak keselamatan mengambil tindakan terhadap pemuda Pas,” jelasnya. – MalaysiaGazette