Abdul Rahman Mohamad menyerahkan borang pemilihan pada jam 2 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

KUANTAN –  Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad meminta diberikan peluang lagi untuk mengekalkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 hingga 2026 pada pemilihan parti itu bulan ini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis mahu diberikan peluang itu supaya dapat berkhidmat dalam merangka strategi memulih dan mengukuhkan parti bagi berdepan cabaran besar.

Jelasnya, langkah itu perlu bermula sekarang.

“Fokus utama parti cukup jelas iaitu kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu untuk bangkit semula dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana inilah parti yang menjadi dukungan orang Melayu.

“Tuntutan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO di Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ini bukan lagi satu pilihan namun satu kewajipan buat saya dan semua ahli,” katanya.

Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam parti, Abdul Rahman yang menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, berharap mendapat sokongan daripada semua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

”Kita menerima hakikat ini dan mesti bersedia berdepan dengan realiti.

”Maka disebabkan itu, saya bersedia menggalas tanggungjawab ini demi kelangsungan parti yang kita sayangi ini,” katanya.

Ahi Parlimen Lipis berkata, cabaran utama adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik sokongan orang muda.

Katanya, borang pemilihan sudah diserahkan pada jam 2 petang tadi. – MalaysiaGazette