Pemandangan Kampung Baru ketika tinjauan bersama Malaysia Gazette berkenaan isu jual tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru, di sini, yang dikemukakan kerajaan terdahulu, termasuk proses jual beli mencecah RM7 bilion.

Sebaliknya Perdana Menteri memberi jaminan untuk mencari kaedah lain bagi menjaga kepentingan orang Melayu di kawasan berkenaan.

“Ada cadangan untuk mengadakan proses jual beli dengan tanggungan kerajaan yang mencecah RM6 hingga RM7 bilion, yang tidak mampu dikendalikan kerajaan sekarang.

“Ada juga cadangan membawa syarikat swasta membangunkan Kampung Baru, tapi menjejaskan kepentingan dan kedudukan orang Melayu di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS).

“Ada juga cadangan mengadakan proses pajakan, maknanya penduduk Kampung Baru boleh pajak. Saya tidak fikir ini semua wajar. Kalau pajak 60 hingga 99 tahun, akan timbul keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu di Kampung Baru kerana terlepas tangan. Ini saya tak boleh terima.

“Apa pun kita lakukan, harus memastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru tetap dipertahankan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (PH) sama ada kerajaan akan meneruskan pembangunan menyeluruh Kampung Baru seperti diusahakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN) turut mengajukan soalan tambahan kepada Perdana Menteri meminta kerajaan memastikan kerajaan tak sewenang-wenangnya membuat tawaran tanpa terlebih dahulu memastikan kemampuan kewangan.

Anwar berkata, kerajaan perlu mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak yang mengekalkan kepentingan Melayu di Kampung Baru.

“Saya terus terang, minta RM7 bilion memang kerajaan tidak ada sejumlah wang itu. Kadang-kadang jaminan (seperti sebelum ini) diberi begitu sahaja, sebab itu ada proses.

“Disebabkan kita ada kekangan kewangan, kita tak bersedia melepaskan hak milik Melayu di situ,” tambah beliau. -MalaysiaGazette