KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas dua juta batang rokok putih berjumlah RM1.5 juta di dalam sebuah lori pada 12 Februari lalu.
Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai lori yang ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Anak Ikan di Jerteh, Terengganu.
“Motolori yang ditahan dipercayai dalam perjalanan ke Pantai Timur.
“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Tambah Wan Apandi, semasa pemeriksaan dijalankan, lori tersebut kelihatan seperti telah ditinggalkan kerana tiada pemandu atau individu lain yang ditemui di lokasi.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.551 juta membabitkan rokok putih yang dianggarkan bernilai RM160,000 dengan jumlah cukai sebanyak RM1.336 juta.
“Sindiket dipercayai menggunakan motolori separuh kanvas dan bergerak aktif pada waktu malam sehingga ke awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 (yang mana lebih tinggi) atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan diminta menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang berhampiran. – MalaysiaGazette