KLANG – Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperluaskan inisiatif Rahmah kepada sektor insurans dan perbankan.
Menurut beliau, usaha itu merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial kerajaan menerusi KPDN dalam membantu seluruh rakyat negara ini.
“Usaha itu memang di bawah Menteri Datuk Seri Salahuddin Ayub. Ia sesuai untuk membantu rakyat dengan menawarkan insurans Rahmah iaitu satu skim insurans perlindungan yang sangat penting.
“Malah, ada banyak program seumpama ini wajar dilaksanakan dan saya minta rakyat memberi perhatian dengan mengambil semua peluang yang ada untuk mendapat perlindungan di bawah skim yang ditawarkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kaki palsu dan kerusi roda kepada seorang bekas pekerja yang dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Taman Sentosa, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin.
Pada majlis itu, bekas pekerja berkenaan, R. Jancey Rani turut menerima surat tawaran menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) Melaka dan surat tawaran untuk penyertaan dalam program Return to Work (RTW).
Menurut Sivakumar, masih ramai rakyat tidak tahu faedah dan kemudahan disediakan Perkeso terutama kepada pencarum yang ditimpa kemalangan di tempat kerja dan kehilangan pekerjaan.
Katanya, fungsi dan peranan Perkeso amat besar dalam menjaga kebajikan serta keselamatan pencarum, yang mana majikan wajib mencarum untuk kepentingan pekerja.
“Ramai kalangan rakyat tidak tahu mengenai fungsi Perkeso dan kes Jancey Rani ini adalah satu contoh usaha kita mempromosikannya untuk rakyat tahu.
“Selain pencen ilat dan pampasan, sebenarnya banyak lagi faedah serta kemudahan yang pencarum akan perolehi menerusi skim yang kita tawarkan,” katanya. – MalaysiaGazette