KUALA LUMPUR – Disebalik penafian Ahli Parlimen Kapar Dr. Halimah Ali dengan mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan penyakit kanser, hansard daripada Dewan Rakyat mencatat perkara berbeza.
Dalam hansard yang diedarkan kepada MalaysiaGazette, Halimah menyebut:
“Saya tidak ada masalah dengan istulah Rahman atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low qualiti ‘rendah kualiti’ dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya,” demikian catatan hansard di Dewan Rakyat.
Ia berbeza dengan nada beliau semalam apabila menyeru semua pihak mendengar kenyataannya semula dengan ‘hati yang bersih’ susulan kontroversi mengenai Menu Rahmah yang dikaitkannya dengan autisme serta kanser, minggu lalu.
Halimah menafikan bahawa beliau ada mengaitkan program yang diperkenal kerajaan itu dan meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada rekod rasmi Parlimen sebelum ini.
“Tengok hansard, saya tidak ada pun kata Menu Rahmah menyebabkan kanser, tengok hansard (rekod rasmi Parlimen).
“(Yang saya maksudkan), jangan sampai terdesak, bukan saya katakan Menu Rahmah ini menyebabkan kanser. Dengar dengan hati yang bersih, insya-Allah jelas,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Kenyataan itu mencetuskan kritikan, terutamanya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan autisme dengan menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan dibuat Halimah pada minggu lalu.
Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi sehaluan dengan NGO.
Sejak minggu lalu, klip video ucapan Halimah di Dewan Rakyat tular sebelum dilaporkan secara meluas oleh media massa.
Menu Rahmah merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi membantu orang ramai khususnya golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan makan tengah hari dan malam pada harga RM5 dan ke bawah. – MalaysiaGazette