Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang membabitkan anak guamnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mempersoalkan mengapa alasan-alasan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak pada prosiding akhir rayuan pada tahun lalu seperti tidak dipandang atau dikaji terlebih dahulu.

Beliau yang mengetuai pasukan bela bekas Perdana Menteri itu berkata, anak guamnya telah dijatuhkan hukuman berdasarkan penghakiman ‘tiga perenggan’.

Muhammad Shafee berkata, panel hakim tidak memberi alasan mahupun sebarang analisis fakta undang-undang dinyatakan berdasarkan 94 alasan yang dikemukakan Najib mengapa beliau tidak sepatutnya disabit dan dijatuhkan hukuman terhadap kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

“Tidak ada analisis, tidak ada penilaian kepada 94 alasan oleh anak guam saya. Penghakiman dalam tiga perenggan sahaja. Adakah ini adil buat anak guam saya?

“Mahkamah menyebut kononnya anak guam saya enggan berhujah, itu bukan yang sebetulnya. Anak guam saya melalui peguamnya telah meminta masa yang secukupnya untuk mengkaji dan berhujah tetapi penangguhan itu tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada pendengaran permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International.

Semalam ketika berhujah, Muhammad Shafee membangkitkan persoalan mengapa pendengaran rayuan dan jatuh hukum dijalankan dalam keadaan tergesa-gesa dan menambah adakah ia disebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Muhammad Shafee, apa yang mungkin mahkamah boleh lakukan ialah memberi tempoh penangguhan yang mencukupi, jika tidak tiga bulan seperti dipohon, bagi membolehkan barisan peguam bersedia untuk berhujah.

Tambah beliau, bekas Perdana Menteri itu bukannya enggan berhujah sebaliknya beliau tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan diri.

“Ini adalah satu ketidakadilan yang sungguh besar (massive injustice) terhadap anak guam saya,” katanya di hadapan lima panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Antara kotak-kotak yang mengandungi dokumen mengenai kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2023.

Turut mendengar permohonan semakan Najib ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee membaca kembali kenyataan penuh bekas Perdana menteri itu sebelum ini.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan dana SRC International.

Prosiding sedang bersambung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ys betul tu. Ada yang tak kena dengan perbicaraan ini. Mana mereks siyokan Zate pula kali ini. Istimewa sangat layanan pads dia.

Comments are closed.