Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Siasatan teliti dan rapi akan dilakukan terhadap individu yang terlibat dalam penyimpanan harta di luar negara seperti pendedahan Pandora Papers.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan-badan penguatkuasa telah diarahkan supaya bersikap tegas terhadap tindakan yang bakal diambil tindakan tanpa mengira latar belakang dan ‘puak’.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan perlu berasaskan kepada bukti dan fakta sahih supaya tidak dicabar sebagai tindakan bermotifkan politik dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.

“Tetapi kalau wang ratusan bilion atau ratusan juta ringgit dikeluarkan dan dibiarkan serta dilindungi kerana menyokong (mana-mana individu), itu membawa porak peranda dan malapetaka kepada negara.

“Tindakan yang diambil oleh badan-badan ini (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)), termasuk mengambil kria beberapa langkah yang lebih canggih seperti bitcoin untuk mengelakkan daripada transaksi wang tunai.

“Selain itu, beberapa langkah lain seperti digital currency yang memerlukan kecanggihan di pihak PDRM dan BNM umpamanya, dan mempertingkatkan usaha program keselamatan sekuriti,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai isu Pandora Papers yang timbul semula sejak minggu lepas serta sejauh mana siasatan dan tindakan susulan dilakukan oleh SPRM, BNM dan PDRM.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dianggarkan hampir tiga ribu nama individu yang disebut di dalam laporan Pandora Papers dan siasatan ketika ini terarah kepada tokoh-tokoh besar.

“Seperti yang saya sebut bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, yang sebenarnya dipercayai menyalahgunakan kuasa mereka, memunggah kekayaan semasa mereka mempunyai kuasa. Maka, itulah Pandora Papers,” ujarnya.

Pandora Papers ialah dokumen yang mendedahkan kekayaan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh di dunia.

Data tersebut diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington DC yang telah bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media, melibatkan 600 wartawan di 117 negara dan didedahkan pada 3 Oktober 2021.

Fail-fail tersebut mendedahkan bagaimana beberapa orang paling berkuasa di dunia termasuk lebih 330 ahli politik dari 90 negara menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan mereka.

Penubuhan syarikat luar pesisir itu sering dikaitkan dengan kegiatan menyembunyikan harta yang diperoleh secara haram dan lubuk untuk mencuci duit, selain lari daripada membayar cukai di negara sendiri yang biasanya jauh lebih tinggi.

Baru-baru ini dilaporkan, SPRM menjalankan siasatan ke atas seorang bekas Menteri Kewangan berhubung penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit seperti didedahkan Pandora Papers.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan memastikan prosedur pemberian tender dijalankan secara telus.

Jelasnya, amalan menyeleweng wang atas alasan membantu syarikat Bumiputera juga perlu dihentikan.

“Amalan menggunakan peluang kononnya membantu Bumiputera tapi songlap wang ini tidak boleh diizinkan. Saya nak jelaskan Ada dasar membantu Bumiputera, boleh adakan tender terhad dalam kalangan syarikat Bumiputera itu tidak dihalang. Tapi tidak boleh gunakan syarikat Bumiputera untuk beri wang secara peribadi atau beri kepada parti seperti amalan kerajaan sebelum ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette