KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bakal menganjurkan program Klinik Parlimen Pandan khusus bagi penduduk di kawasan itu mengaju masalah, cadangan atau permohonan bantuan.
Program itu diumumkan menerusi hantaran di laman sosial rasminya dan akan bermula esok, 22 Februari.
Menurut beliau, klinik itu dibuka pada Rabu minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 8.30 malam sehingga 11 malam di Pusat Khidmat Pandan, Dataran Pandan Prima.
“Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menilai cadangan-cadangan sama ada berbentuk permohonan bantuan, projek infrastruktur kecil, dan lain-lain yang dibawa penduduk setempat,” katanya.
Namun menurut Rafizi yang juga menteri ekonomi, inisiatif berkenaan tidak akan meliputi urusan hal ehwal kementeriannya.
“Segala urusan bersabit kementerian (ekonomi) hendaklah melalui kementerian.
“Mereka yang mahu berjumpa mengenai hal ehwal kementerian boleh menghubungi Kementerian seperti direktori di laman Kementerian www.epu.gov.my,” katanya. -MalaysiaGazette