Peniaga Pasar Awam Bayan Baru mendakwa terpaksa mengenakan caj perkhidmatan RM1.90 disebabkan kos penghantaran pembekal semakin meningkat.

BAYAN BARU – Peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, mendakwa terpaksa mengenakan caj perkhidmatan RM1.90 terhadap pengguna berikutan kos penghantaran bahan mentah itu naik.

Rata-rata para peniaga itu mendakwa caj berkenaan meningkat 30 sen berbanding RM1.60 minggu lalu disebabkan mereka perlu menanggung kos penghantaran bagi setiap kilogram ayam yang dihantar pihak pembekal.

Menurut Mohd Fauzi Haris, 55, peniaga berusaha sehabis mungkin untuk mengekalkan harga caj perkhidmatan itu namun terpaksa dinaikkan akibat berdepan tekanan harga daripada penternak serta pembekal.

Mohd Fauzi.

Jelasnya, harga kawalan ayam RM9.40 yang ditetapkan kerajaan merupakan harga modal mereka memperoleh bahan mentah tersebut.

“Kalau harga bekalan ayam berpatutan, kami pun tak akan kenakan caj perkhidmatan terhadap bukan.

“Bukan kami tekan pengguna dengan harga caj perkhidmatan sebegini tetapi kami tertekan dengan penternak, pembekal yang menetapkan kos bagi penghantaran bahan mentah itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Fauzi mengakui timbul pertikaian dalam kalangan pengguna berhubung caj perkhidmatan dikenakan mereka.

Mohd Fauzi berkata, peniaga ayam di pasar berkenaan juga berdepan situasi pertikaian serta diboikot pelanggan disebabkan caj perkhidmatan tersebut.

“Bagi saya, pertikaian itu timbul disebabkan mereka (pengguna) tidak faham apa masalah yang kami hadapi.

“Kalau tak kenakan caj perkhidmatan kami akan rugi kerana kos sedia ada sudah tinggi. Selain itu, kami juga perlu ambil kira kos pekerja, barang lain termasuk harga plastik yang kini turut naik,” ujarnya.

Tambah Mohd Fauzi, harga ayam dijangka naik dalam masa terdekat dan trend kenaikan itu dibimbangi berlanjutan hingga bulan Ramadan nanti.

Sementara itu, Muhammad Irwan Ashraf Suhaimy mendakwa, pembekal mengenakan bayaran sehingga 80 sen bagi setiap kilogram ayam yang dihantar kepada mereka.

“Kalau mereka (pembekal) kira penghantaran sekali mungkin caj perkhidmatan tak akan setinggi ini tapi ini mereka kira bagi setiap sekilo.

Muhammad Irwan.

“Memang ikutkan caj perkhidmatan ini bukan daripada harga ayam tapi bila pembekal kenakan caj penghantaran kami tiada pilihan lain,” katanya.

Terdahulu, rata-rata pengguna menyifatkan caj perkhidmatan dikenakan peniaga ayam membebankan mereka berikutan harga barangan keperluan lain juga meningkat termasuk ikan dan sayur-sayuran. – MalaysiaGazette