Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

KUALA KRAI – Polis menahan tiga beradik yang bertindak sebagai transporter dan tonto bersama 150 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.4 juta di dua lokasi berasingan di Kampung Kenor dan Kampung Tengah, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tiga beradik lelaki berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun itu ditahan pada 7.50 pagi ketika menaiki sebuah lori Mitsubishi dan sebuah kereta Honda City.

“Hasil risikan anggota polis telah menahan sebuah lori Mitsubishi di tepi jalan Kampung Tengah, pemeriksaan menemukan satu botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum di bahagian kelindan lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian ruang belakang lori tersebut telah menemukan satu kotak berwarna coklat berisi satu bekas gabus putih yang di dalamnya terdapat tujuh bungkusan plastik lutsinar cecair disyaki air ketum.

“Polis turut menemukan enam guni setiap satu di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi 25 bungkusan plastik berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan rampasan dadah dan air ketum tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 1.5 juta penagih.

“Siasatan mendapati bekalan dadah ini diperoleh dari sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran Lembah Klang.

“Ketiga-tiga beradik yang juga penganggur itu telah bertindak sebagai transporter dan dipercayai telah lama melakukan kegiatan ini, malah seorang daripada mereka bertindak sebagai tonto dalam kes ini,” katanya.

Muhamad Zaki berkata suspek berusia 24 tahun juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala abangnya yang berusia 45 tahun memiliki rekod jenayah di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2022.

“Kesemua mereka akan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Feb depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

— BERNAMA