Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Projek Inisiatif Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd telah menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia.

Nilai projek itu berjumlah RM141 juta.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Itu pula sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Adam Radlan yang kelihatan tenang mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh.

Pendakwaan memohon supaya kos ikat jamin tertuduh sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun peguam mewakili Adam Radlan mohon pengurangan.

Datuk Seri Rajan Navaratnam berkata, anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang proses siasatan.

Hakim Rozilah kemudian menetapkan ikat jamin RM600,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan dicadangkan pendakwaan manakala sebutan kes pula pada 14 April depan.

Untuk makluman, semalam, Adam Radlan juga tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa. -MalaysiaGazette