Foto Instagram Hairul Azreen.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Hairul Azreen kini sudah mampu berjalan semula selepas genap seminggu mengalami kecederaan lutut ketika menjalani penggambaran filem aksi The Original Gangster.

Pelakon itu bersyukur apabila proses pemulihan selepas menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) lutut kirinya menunjukkan perkembangan positif.

“Hari pertama fisioterapi,” tulis aktor yang sinonim dengan filem aksi lasak itu menerusi Instagram.

Menerusi hantaran itu, Hairul, 35, berkongsi momen dirinya sedang menjalani sesi fisioterapi yang turut ditemani rakan yang juga aktor, Syazwan Zulkifli.

Malah tanda pagar the best never rest yang disertakan dalam hantaran berkenaan menunjukkan dia bukan jenis mudah mengalah.

Minggu lalu, suami kepada pelakon dan hos Hanis Zalikha itu mendedahkan terpaksa berehat daripada meneruskan penggambaran filem arahan Syamsul Yusof tersebut selepas terbabit dalam kemalangan di set lokasi.

Filem yang menjalani penggambaran sejak dua bulan lalu itu merupakan terbitan Syamsul Yusof Films bersama Razor’s Edge Pictures.

Selain Hairul, The Original Gangster turut membariskan Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Soffi Jikan dan aktor Indonesia, Yayan Ruhian. – MalaysiaGazette