PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,332 unit naskah al-Quran elektronik serta ‘speaker plug’ bernilai kira-kira RM55,000 yang tidak mempunyai kelulusan KDN dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Kajang, bulan lepas.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata operasi dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan dijalankan ke atas premis berkenaan yang menyasarkan jualan al-Quran elektronik di sekitar Lembah Klang.
Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata jika terdapat keperluan untuk mengimport atau membawa masuk bahan tersebut untuk edaran atau jualan perlu mendapat kelulusan daripada KDN.
“Pengimport hanya perlu membayar RM1,200 bagi tujuan semakan sampel bahan berkenaan yang terpakai bagi setiap unit kelompok yang dipohon,” katanya.
Nik Yusaimi berkata kelulusan Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ), KDN adalah perlu untuk memastikan teks dan audio bebas kesalahan, tidak mempunyai kesilapan dan mengelirukan.
Beliau berkata semakan mendapati bahan yang dirampas itu diimport dari China dan diisytihar sebagai produk perhiasan, dan ia dijual secara dalam talian atau dihantar ke premis jualan pada harga antara RM300 dan RM500 bagi senaskah al-Quran, manakala ‘speaker plug’ pula dijual pada harga RM30 seunit.
Nik Yusaimi berkata dalam serbuan menerusi Ops Mulia tersebut, seorang wanita berusia awal 30-an ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 dan 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986.
“Masyarakat diminta berhati-hati dengan hanya menjual, membeli, memiliki dan membaca al-Quran diperakui LPPPQ yang mempunyai hologram KDN,” katanya.
Menurutnya, terdapat 54 al-Quran elektronik yang telah diluluskan oleh KDN untuk dijual, dimiliki ataupun edaran dalam kalangan masyarakat di negara ini.- BERNAMA