KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan purata 84 juta serangan siber setiap hari pada suku keempat 2022, menurut penyedia penyelesaian keselamatan siber global Fortinet.
Naib Presiden Fortinet Asia Tenggara dan Hong Kong Peerapong Jongvibool berkata serangan itu termasuk virus, botnet dan eksploitasi yang dikesan oleh penyelesaian keselamatan siber FortiGuard Labs, menjadikan negara ini salah satu lokasi yang paling terdedah di rantau ini.
Menurut FortiGuard Labs, ancaman siber di Malaysia mencatatkan sejumlah 61.1 juta pengesanan virus, 50.2 juta serangan botnet dan 7.5 bilion pengesanan eksploitasi sepanjang suku keempat 2022.
“(Sebagai perbandingan), ancaman siber pada skala global pada suku keempat 2022 merekodkan sekitar 200 bilion serangan setiap hari.
“Fortinet dapat mengesan ancaman dan meneutralkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) kami serta keupayaan pembelajaran mesin,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Jongvibool berkata bahawa eksploitasi telah menjadi teknik terkini yang digunakan oleh penyerang siber apabila mereka meletakkan perisian hasad pada peranti sasaran mereka sambil menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan serangan itu.
“Trend serangan siber pastinya meningkat setiap hari kerana lebih ramai orang menggunakan pendigitalan dalam urusan harian mereka, menjadikan mereka lebih terdedah.
“Ringkasnya, penyerang kini lebih bijak (dan) mereka kini lebih bersedia dalam perancangan mereka dengan menggunakan AI kerana ia bukan untuk keseronokan lagi tetapi untuk perkara yang serius,” katanya.
Jongvibool berkata cabaran ketara yang dihadapi oleh industri keselamatan siber hari ini akan termasuk kerumitan persekitaran digital tempat aplikasi diedarkan, pengguna bekerja dari mana-mana sahaja, lebih banyak peranti yang dihubungkan pada aplikasi, dan kekurangan kemahiran keselamatan siber.
Beliau menekankan bahawa Fortinet kini merupakan penyedia hampir separuh daripada penggunaan tembok keselamatan di seluruh dunia, satu pencapaian dan peningkatan yang ketara sepanjang tahun lepas.
“Tahun lepas kami hanya bercakap tentang satu pertiga daripada keseluruhan penggunaan tembok keselamatan di dunia milik kami, kini kami hampir mencapai paras 50 peratus dan kami dapat mengesan lebih banyak serangan siber dalam pasaran.
“Dari perspektif global, kami dapat menunjukkan data yang sangat terperinci tentang teknik baharu yang digunakan oleh penyerang dan cara mereka merancang serangan mereka, dengan jenis perisian hasad atau eksploitasi yang mereka gunakan sekarang,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Jongvibool berkata bahawa rancangan Fortinet bukan sekadar melangkaui inovasi teknologi malah ia menetapkan sasaran untuk mencapai masyarakat yang mampan dan merapatkan jurang kemahiran keselamatan siber dalam pasaran.
Beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030, dengan penggunaan cipset litar bersepadu khusus aplikasi kecekapan kuasa yang lebih tinggi pada reka bentuk mereka yang secara amnya menggunakan kurang kuasa semasa beroperasi.
“Fortinet juga berjanji untuk menyediakan latihan kepada sejuta orang dalam keselamatan siber menjelang 2026, kerana kami telah mencapai sasaran awal kami iaitu sejuta orang yang disahkan dengan Pakar Keselamatan Rangkaian Fortinet (NSE) sebelum 2023,” katanya. – BERNAMA