Hospital UCSI di Port Dickson

SUSULAN kebimbangan orang awam berkait kesesakan di hospital kerajaan, langkah diambil Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu tersebut terutamanya di jabatan kecemasan begitu melegakan. Daripada langkah pengawalan yang lebih efektif hingga kepada langkah mengurangkan keletihan kakitangan, inisiatif ini akan memanfaatkan pesakit dan orang awam.

Namun satu lagi kaedah yang belum diterokai adalah kemungkinan untuk jalankan kerjasama dengan hospital swasta. Manfaat langkah ini adalah pelbagai, di mana dengan melibatkan pihak hospital swasta, pesakit akan mempunyai lebih banyak pilihan.

Banyak hospital swasta di seluruh negara yang mempunyai kepakaran dan fasiliti untuk menyediakan intervensi segera kepada kes kritikal. Kerjasama ini boleh dilaksanakan dengan mudah dan saya percaya ia akan mengurangkan tekanan kesesakan di hospital kerajaan. Ini menjadi penyelesaian untuk jangka panjang khususnya kepada pesakit baharu.

Dalam video TikTok yang tular baru-baru ini, ada warga emas terpaksa menunggu hampir 12 jam itu sebenarnya boleh menerima rawatan di Pusat Jantung dan Paru-paru Hospital UCSI. Walaupun perlu menempuh 45 minit perjalanan ke Port Dickson, pesakit terbabit boleh terus menerima rawatan segera sebaik tiba tanpa perlu menunggu lama.

Dengan pakar kardiologi pelatih, pembedahan kardiotoraks dan kebolehsediaan 24 jam, hospital swasta pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan. Kerjasama dengan hospital swasta ini bukan perkara baharu. Ketika pandemik melanda, hospital kerajaan memindahkan pesakit ke hospital swasta dan Hospital UCSI tidak terkecuali malah kami berbesar hati dapat terlibat dalam menempuh waktu yang sukar itu.

Hospital swasta juga menyediakan perkhidmatan seperti pembedahan dan rawatan perubatan pada harga yang lebih rendah apabila kemudahan perubatan di hospital kerajaan sedang diservis atau tidak tersedia. Isu kesesakan di hospital kerajaan yang menjadi perhatian di media sosial baru-baru ini bukan perkara baharu sebaliknya ia isu yang berulang. Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 menyebut bahawa kekurangan kakitangan kesihatan, peruntukan tidak mencukupi dan kekurangan fasiliti bagi memenuhi keperluan pesakit adalah punca utama hospital kerajaan sesak.

Untuk menangani masalah yang tidak akan selesai dengan sendirinya maka sudah tiba masa untuk bertindak. Hospital UCSI dan penyedia penjagaan kesihatan swasta yang lain bersedia untuk menyumbang ke arah usaha mencapai keseimbangan lebih baik untuk pesakit dan sektor kesihatan.

Dengan penglibatan hospital lain dan perkongsian data masa nyata seperti aliran pesakit, masalah kesesakan itu boleh ditangani. Di Negeri Sembilan sahaja, terdapat dua hospital swasta yang menyediakan servis pembedahan kardiotoraks termasuk UCSI.

Untuk membayangkan model kerja itu, penubuhan rangkaian ST-elevation myocardial infarction (STEMI) antara kerajaan dengan hospital swasta di negeri yang menyediakan servis khusus itu akan menjadi langkah pertama untuk menangani masalah tersebut. Contoh terbaik rangkaian STEMI adalah kerjasama antara Hospital Kuala Lumpur dengan Institut Jantung Negara untuk kes intervensi koronari perkutaneus.

Dengan adanya rangkaian itu, hospital kerajaan dan swasta boleh mewujudkan model yang mengehadkan harga siling untuk kes pembedahan dan bukan pembedahan bagi pesakit yang dipindahkan. Untuk membolehkan harga siling itu terlaksana, maka perlu mengambil kira penyesuaian kadar bayaran bagi rundingan doktor dan pengurangan kadar untuk katil selain bayaran bagi prosedur juga boleh dikurangkan demi kepentingan awam.

Pesakit yang menjalani pembedahan atau prosedur kecemasan boleh dipindahkan ke hospital kerajaan untuk rawatan selanjutnya. Ketika mencari kesimbangan ideal yang memerlukan pelarasan, sinergi yang kukuh antara hospital kerajaan dan swasta boleh menghasilkan penyelesaian jangka panjang.

Tan Kay Pau
Pengarah Pembangunan Perniagaan
Hospital UCSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast