Foto: MSM Malaysia Holdings Berhad.

KUALA LUMPUR – Pengeluar gula bertapis, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM179 juta bagi 12 bulan berakhir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM81 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut MSM, kerugian tersebut disebabkan oleh tekanan margin yang berpanjangan bagi harga kawalan segmen runcit domestik dan tanpa sebarang subsidi.

Katanya, hasil bagi suku keempat Tahun Kewangan 2022 (TK2022) ialah RM678 juta berbanding RM642 juta bagi suku yang sama tahun lepas, manakala untuk 12 bulan  TK2022, MSM mencatatkan hasil sebanyak RM2.56 bilion, peningkatan 13 peratus daripada RM2.26 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan dalam Harga Jualan Purata (ASP) yang diperoleh daripada premium industri yang lebih tinggi dan peningkatan premium eksport adalah penyumbang utama kepada peningkatan dalam hasil.

“Walaupun terdapat peningkatan dalam ASP, MSM melaporkan keuntungan kasar negatif hasil daripada kos pengeluaran 22 peratus lebih tinggi terutamanya NY11 18 peratus lebih tinggi, pertukaran asing 5 peratus lebih tinggi dan 25 peratus peningkatan kos penapisan (RC),” katanya menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada RC yang lebih tinggi ialah kenaikan kos gas sebanyak 63 peratus.

Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, bagi S4 TK2022, jumlah jualan Kumpulan menurun sebanyak empat peratus berbanding S4 TK2021.

Katanya, walaupun volum borong meningkat kepada 18 peratus sejajar dengan permintaan yang lebih tinggi dan volum industri meningkat sebanyak 7 peratus, jualan eksport MSM menurun sebanyak 41 peratus kerana keutamaan diberikan kepada pesanan domestik untuk mengelakkan kekurangan gula tempatan

“(Sebanyak) 40 peratus perniagaan MSM terdiri daripada bekalan kepada borong dan runcit bagi segmen pengguna dan untuk segmen khusus ini kami beroperasi dengan margin negatif yang ketara sejak suku keempat 2021.

“Sepanjang 10 tahun yang lalu, pengeluar gula bertapis beroperasi tanpa subsidi dan hanya menerima sedikit kenaikan harga sebanyak 1 sen/kg.

“Dengan harga terkawal RM2.85/kg, Malaysia jauh lebih murah berbanding negara pengeluar gula terkemuka yang bersepadu dengan perladangan dan skim penjimatan tenaga seperti Thailand pada RM3.50/kg.

“Selebihnya, harga runcit di rantau Asia antara RM4.50 – 6.50/kg,” ujarnya.

Syed Feizal berkata, sebagai pemain industri bersama, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan sejak Mei 2021 untuk mendapatkan sokongan bagi cadangan semakan harga baharu atau subsidi.

Malah katanya, kumpulan bersedia untuk beroperasi dengan dasar harga terapung namun mohon intervensi daripada kerajaan.

Tambah beliau, sebagai pengeluar makanan penting, pengeluar gula bertapis tempatan memastikan keterjaminan makanan manakala import bukan pilihan yang mampan dan terhad kepada kuota eksport negara mereka, khususnya India, yang mungkin dihentikan untuk melindungi keperluan domestik mereka.

“Walaupun dengan permintaan yang lebih kukuh seperti dalam pasaran tempatan dan eksport, kos input yang tinggi terus menghalang peningkatan prestasi kewangan Kumpulan,” jelasnya.

Syed Feeizal berkata, Kumpulan terus menumpukan pada penambahbaikan harga jualan purata dan mencapai kos penapisan yang lebih rendah. – MalaysiaGazette