KUALA LUMPUR – Polis meminta kerjasama saksi untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang dirempuh penunggang motosikal semasa mangsa melintas di garisan pejalan kaki hadapan Pejabat Majlis Perbandaran Klang dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu menimpa mangsa itu berlaku pada 20 Februari lalu lebih kurang pukul 7.45 pagi.
Katanya, penunggang motosikal itu tidak memberhentikan motosikalnya selepas melanggar mangsa dan terus melarikan diri dari lokasi.
“Mangsa telah tampil membuat laporan polis dan kes dimulakan siasatan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987.
“Justeru, siasatan mendapati pengadu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hoong Fong, polis berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian itu.
“Pemerhatian terhadap video itu mendapati penunggang motosikal tersebut menunggang motosikal yang dipercayai jenis Yamaha Lagenda 115 berwarna merah atau hitam dan memakai jaket berwarna putih serta topi keledar berwarna hitam,” katanya.
Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Balai Trafik, IPD Klang Selatan di talian 03-33722222 atau menghubungi Sarjan Mohd Nazri Tuan Lah di talian 019-2822579. – MalaysiaGazette