Omid Nazari. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Pemain Filipina, Omid Nazari menjadi tonggak import baharu Terengganu FC (TFC) pada hari terakhir jendela perpindahan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, ‘Awang Import’ berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak setahun bagi kuota ASEAN menggantikan Luke Woodland yang digugurkan.

Menurut Ab. Rasid, kehadiran bekas pemain Negeri Sembilan itu akan memperkuatkan jentera tengah Sang Penyu untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC.

“Nazari merupakan pemain kelahiran Sweden dan produk akademi kelab Malmo FF selain turut berpengalaman beraksi dalam Liga Indonesia bersama Persib Bandung.

“Diharap beliau dapat membentuk keserasian bersama Habib Haroon, Domagoj Pusic dan Liridon Krasniqi sebagai perancang tengah TFC.

“Namun perlawanan berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok, masih terlalu awal untuk Nazari mengambil bahagian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab. Rasid mengesahkan TFC menyambung kontrak tiga tonggak pertahanan iaitu kapten, Shahrul Nizam Roshasni, Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad sehingga 2025.

Menurut beliau, ketiga-ketiga pemain berkenaan menyatakan komitmen untuk terus menyarung jersi Sang Penyu walaupun turut ditawarkan tempat daripada beberapa kelab lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast