KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 disifatkan sebagai belanjawan rakyat kerana tertumpu kepada cabaran isu ekonomi rakyat dan isi rumah di samping cabaran hutang dan liabiliti negara yang berjumlah RM1.5 trilion.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pengumuman peningkatan belanjawan kali ini berbanding tahun lepas oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi banyak manfaat kepada rakyat pada waktu getir ketika ini.
“Menariknya, belanjawan kali ini dirancang secara pendekatan holistik. Antaranya, memperkasa kerjasama antara pihak swasta dan awam dengan tidak membebankan kewangan negara melalui kerjasama dengan industri bagi pelaksanakan TVET.
“DPIM mengambil contoh, Petronas akan menjalin kerjasama kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri.
“Khazanah pula menjalin kerjasama kluster perhotelan di Langkawi, manakala DRB Hicom menerajui kluster automatif di Pekan dan Sunway & Gamuda menerajui kluster pembinaan.
“Dengan pendekatan ini, anak-anak muda mendapat latihan dan pekerjaan melalui syarikat-syarikat besar yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, di samping merancakkan ekonomi tempatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shahir berkata, pengumuman bahawa tahun 2023 sebagai tahun noktah kemiskinan tegar di Malaysia menunjukkan bahawa kerajaan serius membantu rakyat melalui program bantuan tunai dan inisiatif pendapatan rakyat.
Ujarnya, program pembasmian kemiskinan melalui sebahagian bayaran royalti dan wang ehsan adalah usaha kerajaan dalam meminimumkan beban sara hidup rakyat.
“Contoh lain adalah peruntukan sebanyak RM 100 juta kepada 222 kawasan Parlimen untuk Jualan Rahmah, tanpa mengira Kawasan parlimen kerajaan atau pembangkang,” tambahnya.
Justeru beliau berkata, DPIM menyokong semua usaha dan perancangan kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Katanya, pengurangan kadar cukai individu sebanyak dua peratus kepada golongan M40 akan meringankan bebanan golongan itu yang sebelum ini terhimpit kerana tidak mendapat bantuan sewajarnya dari kerajaan terdahulu.
“Diharapkan semua ahli Dewan Rakyat menyokong usul Kerajaan Perpaduan yang memberikan kebaikan kepada rakyat.
“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang menangguk di air keruh demi kelangsungan politik diri sendiri,” jelasnya. – MalaysiaGazette