Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menunjukkan peningkatan sebanyak 22.9 peratus atau pun RM671 juta.

Justeru, fokus KPT bagi tahun ini adalah untuk menambahbaik fasiliti Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di IPTA berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisien untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Sebanyak RM436 juta dikhususkan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA.

“Dalam mentransformasi pendidikan tinggi melalui teknologi alaf baru, KPT juga akan memberi tumpuan terhadap agenda pendigitalan dalam aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan, untuk manfaat para penyelidik, ahli akademik dan pelajar-pelajar di IPT,” kata KPT dalam satu kenyataan hari ini.

Dana sebanyak RM35 juta akan digunakan untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di IPTA di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN).

“Usaha pendigitalan ini diharapkan akan dapat memperluas akses pembelajaran berkualiti yang inovatif, fleksibel dan bertaraf global kepada semua pemegang taruh tanpa mengira lokasi.

“KPT juga akan memperkasa agenda penyelidikan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu yang unggul melalui peruntukan R&D sebanyak RM428 juta yang diperuntukkan kepada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan penyelidikan translasional, KPT akan menterjermahkan penyelidikan translasional kepada penghasilan nyata untuk manfaat kerajaan, komuniti, industri dan akademia,” kata kenyataan yang sama.

Di samping itu juga, inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 yang akan menjadi tumpuan KPT adalah diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tigabulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.

Selain itu, permohonan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

KPT juga menyokong Kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 seorang bagi belia 18 hingga 20 tahun di bawah KPT dan kerjasama dengan syarikat GLC peneraju untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.

KPT juga akan mengeratkan kerjasama dengan industri melalui pengukuhan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih dan menawarkan kepakaran dan perkhidmatan Hospital Pengajar Universiti bagi membantu isu kesesakan kemudahan kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan.

“KPT komited dalam usaha membantu Kerajaan mencapai hasrat Belanjawan 2023 melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT khususnya komuniti dan masyarakat secara amnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast