Muse bagi Koleksi Eksklusif dan Koleksi Raya Angsa Emas Jewellery bagi tahun 2023.

KUALA LUMPUR – Biar pun berdepan dugaan menjadi mangsa ‘penyeluk saku’ di luar negara namun ada hikmah yang menanti selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta selepas insiden malang itu.

Ini kerana dramatis itu kini menjadi pilihan syarikat barangan emas, Angsa Emas Jewellery sebagai wajah dalam menggayakan produk barang kemas sepanjang tahun ini.

Syarikat memilih ibu beranak itu kerana pengaruhnya sebagai seorang selebriti selain seorang yang sentiasa menjaga keterampilan dan anggun di mana melengkapkan gayanya dengan gemar memakai barang kemas.

Pengarah Angsa Emas Jewellery, Datuk Zulhilmi Mukhtar berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Che Ta sambil berharap kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Emas bukan sahaja cantik dijadikan perhiasan tubuh tetapi juga boleh dijadikan ‘dana kecemasan’ ketika dilanda musibah.

“Selain wang tunai, orang ramai boleh menyimpan emas sebagai benteng kewangan terakhir dengan menjual atau memajaknya untuk mendapatkan wang tunai segera.

Rozita Che Wan.

“Sejajar dengan itu sebagai peneraju perniagaan emas patuh syariah di negara ini, Angsa Emas Jewellery mahu melaksanakan misi memperluaskan industri emas dan melakukan kolaborasi strategik bersama selebriti popular seperti Che Ta,” katanya pada majlis memperkenalkan Che Ta dipilih sebagai Muse bagi Koleksi Eksklusif dan Koleksi Raya Angsa Emas Jewellery bagi tahun 2023, semalam.

Sementara itu, Zulhilmi berkata, syarikat merancang melaksanakan transaksi jual beli emas secara bersemuka dan di atas talian serta memperluaskan  cawangan perniagaan pada tahun ini.

“Kami sedang membangun dan memperkasakan perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) patuh syariah di dalam perniagaan emas.

“Antara perancangan lain syarikat membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara, menggiatkan lagi aktiviti promosi dan kolaborasi korporat untuk memperkenalkan nama Angsa Emas Jewellery.

“Syarikat juga menawarkan peluang pelaburan kepada pelabur dengan menjadi pelopor perniagaan patuh syariah di Malaysia,” katanya.

Ketika ini, Angsa Emas Jewellery mempunyai dua kedai iaitu di Bangi dan Shah Alam, Selangor. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.