Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meningkatkan had statutori hutang daripada 55% kepada 65% daripada Keluaran Dalam Negara KAsar (KDNK) dalam tempoh pandemik menerusi penggubalan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus) 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 830) bagi menyediakan ruang fiskal untuk membiayai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Pada akhir 2022, hutang kerajaan sebanyak RM1,079.6 bilion atau 60.4% daripada KDNK dengan jumlah hutang terkumpul bagi setiap instrumen kekal tidak melebihi had statutori yang ditetapkan dalam akta tersebut.

Hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi 97.3% sekuriti berdenominasi ringgit manakala baki sebanyak 2.7% adalah mata wang asing yang meminimumkan pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing.

Hutang dalam negeri berjumlah RM1,050.1 bilion, merangkumi sekuriti jangka sederhana dan panjang iaitu MSG dan MGII sebanyak 51.2 % dan 44.9% daripada jumlah hutang dalam negeri serta SPK berjumlah RM9.1 bilion atau 0.9%.

Sementara itu Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) merupakan instrumen jangka pendek merekodkan RM31.5 bilion atau 3% daripada jumlah hutang dalam negeri.

Pinjaman luar pesisir yang terdiri daripada pinjaman pasaran dan pinjaman projek berjumlah RM29.5 bilion dengan 64% berdenominasi dolar Amerika Syarikat, yen (35.7%) dan mata wang lain (0.3%).

Pinjaman pasaran merangkumi sukuk global dan bon Samurai mencatatkan RM25.5 bilion manakala pinjaman projek daripada perjanjian bilateral dan multilateral sedia ada RM4 bilion. – MalaysiaGazette