KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) Malaysia bagi bulan Disember menyusut 0.6 peratus, bersamaan 0.7 mata kepada 110.7 mata pada bulan Disember 2022 berbanding 111.4 mata pada Disember 2021.
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Empat daripada tujuh komponen dikaitkan dengan pengurangan iaitu Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan, Bilangan Syarikat Baru Didaftar, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dan Jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan.
Sebaliknya, prestasi bulanan IP pula mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus pada bulan Disember 2022 berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Trend ini didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.5%), Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.1%), Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (0.1%) dan Jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (0.03%).
IP arah aliran jangka panjang terlicin pada Disember 2022 kekal mencatatkan arah aliran di bawah trend 100.0 mata (Paparan II). Sehubungan itu, ekonomi Malaysia dijangka perlahan beberapa bulan ke hadapan selari dengan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa terhadap pertumbuhan ekonomi global.
Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan peningkatan 5.1 peratus tahun ke tahun kepada 120.3 mata pada Disember 2022
(Disember 2021: 114.5 mata).
Walau bagaimanapun, perubahan bulanan IS mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus yang disebabkan oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, Kapasiti Penggunaan, Pembuatan dan Nilai Caruman Benar, KWSP. – MalaysiaGazette