Keadaan jalan rosak teruk di Persimpangan lampu isyarat Semambu ketika lawatan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pada 21 Februari lalu.

KUANTAN. – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan telah menghantar permohonan peruntukan sebanyak RM70 juta kepada kerajaan pusat bagi tujuan baik pulih jalan-jalan rosak di sekitar daerah Kuantan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, Andansura Rabu, peruntukan itu merangkumi kerja-kerja berkala penurapan dan bukan penurapan melibatkan lebih 60 seksyen jalan persekutuan.

Katanya, maklumat tersebut dikongsi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam surat bertarikh 20 Februari lalu.

Lampira surat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Andansura Rabu.
Sumber : Facebook Andansura Rabu

“Daripada jumlah keseluruhan RM70 juta tersebut, sekitar RM1.3 juta dikategorikan sebagai keperluan kecemasan yang diperlukan segera,” katanya dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Andansura, antara seksyen jalan yang termasuk di bawah keperluan kecemasan itu adalah Persimpangan Jabor – Jerangau, Persimpangan lampu isyarat Balok, Persimpangan lampu isyarat Semambu, Persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin, Persimpangan lampu isyarat Pelabuhan dan Jalan Kuantan – Kemaman berhampiran simpang Pasar Beserah.

“Manakala lain-lain jalan seperti seksyen lain di Jalan Kuantan – Kemaman, Jalan Bypass, Jalan Gambang dan jalanraya di gugusan Felda termasuk dalam senarai panjang lain yang dikemukakan oleh JKR Daerah Kuantan,” katanya.

Andansura Rabu

Andansura berharap penyaluran peruntukan itu dilakukan dalam tempoh terdekat agar kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan sebelum April depan.

Pada 21 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memberitahu, Kerajaan Negeri pahang telah memohon peruntukan sebanyak RM400 juta bagi melakukan kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kira-kira 3,000 kilometer jalan Persekutuan pada tahun ini. – MalaysiaGazette