Seorang banduan warga Indonesia maut akibat dipukul rakan sel sendiri selepas terlibat dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang, minggu lalu.

MELAKA – Seorang banduan warga Indonesia maut akibat dipukul rakan sel sendiri selepas terlibat dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira pukul 6.28 petang semalam selepas tujuh hari menerima rawatan.

Siasatan awal mendapati, pergaduhan antara mangsa dan seorang lagi banduan iaitu suspek berusia 34 tahun disedari warden penjara pada kira-kira pukul 2.15 petang 17 Februari lalu di Bilik 48, Tingkat 2, Zon A, Blok Cekal, Kompleks Penjara Sungai Udang.

“Bilik berkenaan menempatkan seramai tujuh banduan namun pada waktu kejadian, hanya mangsa dan suspek berada di bilik itu kerana semua banduan lain sedang sedang menjalani aktiviti riadah bebas.

“Semasa warden sedang buat kawalan penjara, dapati berlaku satu pergaduhan melibatkan dua banduan berkenaan sehingga mangsa cedera di bahagian kepala dan muka.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

Tambah Christopher, warden penjara kemudian telah diarahkan menghantar mangsa ke ke Hospital Melaka sebelum doktor mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dalam kepala, luka di bahagian mata sebelah kiri dan telinga kiri.

“Selepas tujuh hari menerima rawatan, doktor mengesahkan mangsa yang dimasukkan ke penjara sejak 21 November 2022 hingga 9 Jun ini atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 meninggal dunia pada pukul 6.28 petang semalam di Hospital Melaka,” katanya.

Tambahnya, suspek dimasukkan ke penjara sejak 11 Mac 2016 hingga 3 September 2032 atas kesalahan dibawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan lanjut mendapati pergaduhan antara kedua-dua banduan itu berpunca apabila suspek mengesyaki mangsa mengambil makanan roti dibekalkan Jabatan Penjara miliknya menyebabkannya tidak dapat makan.

“Mangsa bagaimanapun menafikannya dengan suara yang tinggi mengakibatkan suspek terus memukul warga Indonesia itu malah suspek turut mengaku telah menumbuk bahagian sebelah mata dan pipi kanan mangsa sehingga kepala mangsa terhantuk ke arah dinding,” katanya.

Tambahnya, selepas mangsa terjatuh, suspek kemudian memijak mangsa menggunakan tumit beberapa kali di bahagian paha.

“Suspek juga dikatakan beberapa kali menendang dada mangsa sebelum mengangkat dan menghumbannya ke kawasan bilik air. Saksi kejadian ini adalah seorang lelaki warganegara Nigeria, turut terlihat suspek memukul mangsa dan cuba menghentikannya,” katanya

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette