KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion ringgit simpanan luar jangka.
Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
Dengan pembaharuan tatacara perolehan krajaan akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk
kepentingan rakyat.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Anwar yakin prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh dan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus.
Malah, beliau yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melepasi unjuran 4.5 peratus.
“Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah RM291.5 bilion berbanding RM294.4 bilion pada tahun lalu namun ini belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.
”Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat,” kata Anwar. – MalaysiaGazette