Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang memperuntukan sebanyak RM11 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap 8.1 juta penduduk desa.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu memperlihatkan pertambahan sebanyak RM500 juta berbanding tahun 2022.

“KKDW mempunyai mekanisme yang telah kita lakukan perubahannya, di mana kumpulan sasaran yang disebutkan itu benar-benar mendapat bantuan.

“Kerana kalangan pekebun kecil sebanyak 130,000 yang telah tersenarai sepenuhnya untuk menerima bantuan BNT dan juga harga lantai yang disebutkan.

“Dalam hal ini data-data sedia akan diselaraskan bukan sahaja secara dalaman khususnya Risda dan Felcra tetapi kita juga akan koordinasi dengan lain-lain jabatan yang terkait dengan bantuan soal kebajikan yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri tadi,” kata Ahmad Zahid pada sidang media.

Beliau yang ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata, belanjawan itu begitu menyatuni kumpulan penoreh getah dan masyarakat desa yang sering dilanda banjir.

“Kita dapat santuni permasalahan penoreh getah harga lantai ditingkatkan dari RM2.50 kepada RM2.70 melibatkan RM300 juta.

“Begitu juga bantuan musim tengkujuh yang dipertingkat daripada RM600 kepada RM800 yang memberi manfaat 320,000 pekebun kecil,” jelas Ahmad Zahid.

Belanjawa 2023 menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Usaha-usaha pembangunan infrastruktur asas di luar bandar akan diteruskan ini termasuk peruntukan RM 1.5 billion untuk Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa.

Selain itu sebanyak RM176 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf serta menambah baik premis dan kemudahan perniagaan termasuk di bawah MARA, selain premis di bawah DBKL, PUNB dan UDA.

Peruntukan RM6.7 billion untuk program TVET yang turut meliputi 280 institusi TVET di bawah Kementerian.

Katanya, KKDW menghargai saranan supaya 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000 yang dijangka akan turut memberi manfaat kepada kira-kira 59,000 pelajar TVET di bawah KKDW.

“MARA sebagai salah satu institusi utama TVET di bawah KKDW juga komited untuk merintis penglibatan institusi TVET Persekutuan dengan industri terutamanya di kalangan GLC untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya penyediaan program latihan bagi memenuhi keperluan industri berkenaan,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette